Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Shahril Effendi Abd Ghany bergambar kenangan bersama delegasi Malaysia yang menyertai program Building a High Performance Organization in Public Sector-Japan Experience di Jepun, baru-baru ini. – Foto: Ihsan USM

KUALA LUMPUR – Penjawat awam di negara ini disaran mencontohi budaya kerja masyarakat Jepun selaras dengan usaha meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan.

Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Shahril Effendi Abd Ghany berkata, keupayaan Jepun bangkit sebagai kuasa ekonomi dunia selepas perang dunia kedua adalah berteraskan budaya kerja yang sentiasa mementingkan kualiti kerja yang tinggi seperti amalan zero defect.

“Adalah menjadi harapan saya agar semua peserta mendapat sebanyak mungkin pengetahuan tentang organisasi berprestasi tinggi (HPO) dan seterusnya mempromosi budaya HPO di tempat kerja masing-masing kelak,” ujar beliau.

Beliau berucap merasmikan program Building a High Performance Organization in Public Sector – Japan Experience di Jepun, baru-baru ini.

Program khas yang disertai oleh para penjawat awam dari pelbagai sektor itu adalah anjuran bersama M Talent Traning & Consultancy Services Sdn. Bhd. (MTalent) dengan kerjasama Japan Malaysia Association (JMA) di Jepun.

MTalent adalah satu badan yang menyediakan produk dan perkhidmatan untuk membantu pengurusan organisasi yang mapan melalui program latihan dan perkhidmatan perundingan ke arah memperkasa pengurusan dan pembangunan bakat.

Dalam program latihan yang berlangsung selama lima hari itu, peserta didedahkan dengan konsep dan amalan budaya kerja melalui sesi perkongsian oleh pakar jemputan khas yang berpengalaman.

Para peserta juga berpeluang mengadakan sesi lawatan ke jabatan kerajaan terpilih untuk melihat inisiatif strategik yang dilakukan termasuk usaha menerapkan amalan transformasi digital terutama selepas pandemik Covid-19.

Turut hadir pada program itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif MTalent, Datuk Dr. Musa Ali; Akademia dari National Graduate Institute for Policy Studies (GRIPS), Prof. Emeritus Kiyotaka Yokomichi; Presiden dan Naib Canselor DRB Hicom University of Automotive Malaysia, Prof. Datuk Sr. Dr. Omar Osman dan Pengarah JMA, Moribayashi Takashi.

Sementara itu, Shahril Effendi turut memuji usaha yang dilakukan oleh MTalent dan JMA menerusi penganjuran program latihan yang mendedahkan peserta kepada budaya kerja dan amalan terbaik di jabatan kerajaan Jepun untuk meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan.

Dalam pada itu, Presiden JMA, Takakazu Ogawa berkata, pihaknya sentiasa menyokong usaha memupuk kerjasama antara Jepun dan Malaysia di pelbagai peringkat melalui pelbagai usaha yang dilakukan termasuk penganjuran program latihan.

Sehubungan itu, beliau berharap lebih banyak program kerjasama untuk manfaat kedua-dua negara dapat dilakukan pada masa depan sebagai usaha menyokong pelaksanaan Dasar Pandang Ke Timur.  – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast