perkhidmatan bantuan guaman Azalina UMNO
Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Penggunaan teknolgi kecerdasan buatan (AI) dalam sektor perundangan dapat meningkatkan kecekapan perkhidmatan, memudahkan proses penggubalan perundangan dengan keupayaan data serta menjimatkan tempoh masa kerja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, dalam mengakui kelebihan teknologi itu, beliau yakin AI tidak akan dapat mengambil alih peranan serta kelebihan manusia secara umum.

Bagaimanapun jelas beliau, kerajaan perlu bersedia dan perlu membuat perancangan pada masa depan.

“Kalau kita tengok negara-negara lain di dunia di luar sana, selain daripada EU (Kesatuan Eropah), terdapat juga penggunaan sedikit sebanyak seperti Estonia, China, Brazil, Belanda, United Kingdom, Kanada dan Singapura.

“Yang mana pemakaiannya tertakluk kepada aspek mahkamah, mahkamah kecil, tuntutan kecil ataupun kepada penyediaan dokumen, ataupun daripada segi penilaian kelayakan mendapatkan bantuan guaman, dan dilihat juga dalam penyediaan rumusanrumusan data-data yang banyak,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Azalina menambah, buat masa ini, negara-negara lain telah memulakan langkah dalam mengawalselia penggunaan AI melalui penggubalan undang-undang baharu mereka.

Sebagai contoh kata beliau, Akta AI EU diperkenalkan yang bertujuan untuk mengawal selia penggunaan teknologi AI dengan cara yang selamat dan bertanggungjawab.

“Antara lain, inti pati akta ini menekankan tanggungjawab kepada penyedia perkhidmatan AI bagi memastikan pengurangan sistem AI yang berisiko tinggi serta penekanan elemen ketelusan bagi memastikan AI digunakan dengan cara yang tidak membahayakan masyarakat.

“Sebarang polisi khusus berkaitan pemakaian AI dalam sistem perundangan negara wajar mengambil kira antara lain, cabaran-cabaran berkaitan pemakaiannya merangkumi isu kebolehterimaan keterangan digital yang melibatkan kandungan sulit,” katanya.

Azalina memberitahu, ada tahun 2025, kerajaan akan melancarkan Roadmap to My Digital Justice yang komprehensif dan khas bagi sektor perundangan dengan kerjasama semua pihak yang berkaitan termasuk Kementerian Digital dan Kementerian Komunikasi.

Ujar beliau, ia  bagi meningkatkan keupayaan digital dalam sektor perundangan dan menerima pakai penyelesaian digital dalam meningkatkan akses kepada keadilan.

“Selain itu, pihak berkepentingan lain khususnya Jabatan Peguam Negara, Majlis Peguam Malaysia dan Badan Peguam peringkat negeri akan turut dilibatkan dalam penghasilan
Roadmap to My Digital Justice.

“Roadmap ini dijangka akan mengandungi objektif, strategi, inisiatif bagi jangka pendek, sederhana dan panjang dan ntara fokus utama adalah memastikan kekompetenan tenaga manusia yang terlatih lebih kritis dan analitik melangkaui kepintaran AI,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast