KUALA LUMPUR – Seorang polis bantuan maut selepas motosikal yang ditunggang dilanggar kereta yang terbabas dari arah bertentangan di Kilometer 408 Lebuhraya Utara Selatan (arah utara), malam semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, siasatan awal mendapati sebuah kereta Toyota Vios yang dipandu lelaki berusia 24 tahun dari arah selatan hilang kawalan dan terbabas lalu terlanggar seorang penunggang motosikal yang berumur 51 tahun pada jam 11.30 malam.
“Kemudian kereta itu terbabas di lorong kiri jalan dan melanggar penghadang jalan sebelum terbabas ke lorong kanan jalan tersebut.
“Ekoran insiden itu, penunggang motosikal yang dikenalpasti sebagai polis bantuan di sebuah agensi telah tercampak ke lereng bukit di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan sambil menambah pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu pada jam 6.02 pagi ini.
Menurut Ahmad Faizal, penunggang motosikal itu ditemui pada jam 7.50 pagi di kawasan semak lereng bukit, kira-kira 300 meter dari motosikal mangsa ditemui.
Tambah beliau, lelaki itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Siasatan lanjut mendapati, mangsa semasa kejadian sedang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Shah Alam ke rumahnya yang terletak di Hulu Selangor.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca kematiannya,” ujarnya.
Ahmad Faizal berkata, pemandu kenderaan berkenaan ditahan di Cawangan Trafik Hulu Selangor untuk tindakan lanjut.
Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette