Amier Amzar Akbarudin, 34 tahun, tiba ke Mahkamah di bawa oleh polis bagi menghadapi pertuduhan kes penjualan 3 kenderaan mewah menyebabkan kerugian RM1.7 juta kepada mangsa akan didakwa atas 10 pertuduhan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 15 NOVEMBER 2024..

SHAH ALAM – Seorang broker kereta berusia 34 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas 10 tuduhan pengubahan wang haram RM1.35 juta berkaitan pembelian tiga buah kereta mewah pada tujuh tahun lalu.

Amier Amzar Akbarudin memindah, dan melupuskan RM1.24 juta selain mengeluarkan cek berjumlah RM110,000 yang merupakan hasil aktiviti haram melibatkan masing-masing dua akaun miliknya dan tujuh lelaki lain berusia di antara 32 hingga 67 tahun antara 4 Februari hingga 6 April 2017.

Sehubungan itu, dia dituduh melakukan kesalahan di bawah perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Jika didapati bersalah, lelaki itu berdepan hukuman penjara lebih 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai aktiviti haram atau peralatan dilakukan atau RM5 juta, yang mana nilainya tinggi bagi setiap pertuduhan.

Dalam masa yang sama, Amier juga mengaku tidak bersalah atas tuduhan menipu seorang lelaki membeli tiga buah kereta import iaitu Porshe 911, Lamborghini Aventador, Audi R8 sehingga mendorongnya membayar RM1.45 juta.

Kesalahan itu dilakukannya di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang menetapkan hukuman penjara sehingga 10 tahun selain sebatan dan denda.

Terdahulu, pihak pendakwa raya yang diwakili oleh Megat Mahathir Megat Afendi dan Aida Khairuleen mencadangkan mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM400,000 untuk 10 pertuduhan pengubahan wang haram manakala RM50,000 untuk penipuan pembelian tiga kereta mewah.

Walau bagaimanapun, peguam belanya S. Sathya merayu supaya jumlah itu dikurangkan memandangkan Amier yang berpendapatan purata RM4,000 sebulan tersebut perlu menyara isteri yang tidak bekerja dan dua orang anak serta ibu bapanya.

“Salah seorang daripada anaknya baru sahaja lahir manakala ibu bapanya sudah pencen dengan anak guam memberikan RM600 kepada mereka. Dia juga perlu bayar perbelanjaan rumah RM2,900. Justeru, mohon kurangkan jaminan,” jelasnya.

Hakim Muhamad Anas Mahadzir kemudian menetapkan jaminan berjumlah RM225,000 untuk keseluruhan pertuduhan, selain perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis terdekat sekali setiap bulan selain dilarang mengganggu saksi perbicaraan.

Tarikh serahan dokumen adalah pada 14 Januari 2025.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast