KUALA LUMPUR- Tiga tahun jeda selepas menjayakan konsert solo di Istana Budaya pada 2021, Misha Omar kembali ke pentas konsert 21 Disember ini.

Dinamakan Misha Omar Back To Basic Showcase, penyanyi tersohor itu akan mendekati peminatnya di panggung kecil dalam suasana intim berbanding beraksi di pentas konsert nan megah.

Bertempat di Odeum at Jiospace, Petaling Jaya, Misha hanya mahu ‘bersenang-senang’ bersama peminat dengan seleksi tembang yang akan mengejutkan namun pastinya meninggalkan memori terindah.

“Alasan di sebalik pemilihan nama Misha Omar Back to Basic Showcase juga punya signifikan tersendiri dengan konsep persembahan malam tersebut. Ia seperti pulang kepada asas.

“Saya akan membawa peminat pulang ke saat seorang Misha Omar baru mahu mencetak nama sebagai penyanyi selepas pertama kali mengikat kontrak bersama syarikat rakaman besar pada tahun 2002.

“Bagaimana saya sangat menghargai momen menyanyi di pentas kecil seperti Planet Hollywood dan menyanyikan tembang-tembang milik penghibur lain yang telah memberi saya kepercayaan dan inspirasi untuk terus berkarya,” katanya dalam satu kenyataan.

Misha Omar Back To Basic Showcase juga akan menjadi ‘pemanas’ kepada sebuah konsert berskala besar yang menjadi impiannya pada masa depan.

“Sebagai penghibur yang sudah dua dekad berada dalam belantika muzik malah masih mampu kekal relevan, bohong jika saya katakan tidak punya mimpi mengadakan konsert besar-besaran.

“Mana tahu bermula dengan Misha Omar Back to Basic Showcase yang berskala kecil ini menjadi ‘pintu’ menuju konsert mega pada masa akan datang? Kita doa bersama,” katanya lagi.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai konsep showcase yang dianjurkan DOUBLE M PRODUCTIONS ini, Misha akan menghiburkan peminat selama 90 minit dengan iringan pemuzik yang berprofil tinggi.

Bintang berusia 42 tahun yang menggunakan khidmat Datuk Syafinaz Selamat selaku pengarah vokal meletakkan tanggungjawab pengarah muzik kepada Ayop Azril bersama sembilan pemuzik di bawah pimpinannya.

Jennifer Thompson pula diberi kepercayaan selaku pengarah konsert sementara Simon Khoo menggalas tugas pengarah teknikal.

Tiket akan mula dijual pada 27 November ini jam 10 pagi pada harga RM288, RM388 dan RM488. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here