KUALA LUMPUR – Sejumlah 102, 376 kes jenayah komersial telah disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang tahun 2021 hingga 2023 melibatkan nilai kerugian sebanyak RM6.05 bilion.
Bagi tempoh Januari hingga September tahun ini sebanyak 29,010 berbanding 30,422 kes yang dilaporkan bagi tempoh yang sama pada tahun 2023, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.
Jumlah ini menunjukkan penurunan sebanyak 4.6 peratus atau bersamaan 1,412 kes. manakala jumlah kerugian yang direkodkan dari Januari sehingga September 2024, adalah sebanyak RM1.98 bilion, peningkatan sebanyak 22.6 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
“Jenayah penipuan dalam talian melibatkan enam modus operandi utama iaitu jenayah telekomunikasi, jenayah e-kewangan, jenayah e-dagang, Love Scam, pinjaman tidak wujud, dan pelaburan tidak wujud, merupakan kategori jenayah yang paling kerap dilaporkan setiap tahun.
“Bagi tahun 2024 sehingga September lalu, sejumlah 24,671 kes telah dicatatkan dengan nilai kerugian sebanyak RM1.04 bilion,” katanya semasa berucap di Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pagi tadi.
Meskipun berdepan dengan peningkatan kes tersebut, beliau optimis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) mampu menjadi jabatan yang disegani dalam aspek penyiasatan terutamanya berkaitan kes jenayah penipuan dalam talian yang semakin berleluasa dan menjadi penyumbang terbesar kes jenayah komersial di negara ini.
Katanya, tahun 2024 menyaksikan kewibawaan JSJK mengatur strategi memerangi jenayah komersil menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif yang dirancang termasuklah siasatan, risikan/operasi dan kempen-kempen pencegahan.
“Dari aspek tindakan pembanterasan, bagi tempoh Januari hingga September 2024, jabatan ini telah melaksanakan sejumlah 17,661 operasi serta serbuan yang secara keseluruhannya telah berjaya menahan 18,506 individu atas pelbagai kesalahan jenayah komersil.
“Manakala dari aspek siasatan, bagi tempoh sembilan bulan tahun 2024, JSJK telah berjaya memperoleh sejumlah 13,184 pertuduhan selain melaksanakan 7,267 program pencegahan jenayah di seluruh negara, meliputi pameran, ceramah, kolaborasi media, dan aktiviti “meet & greet” untuk meningkatkan kesedaran awam agar mereka tidak menjadi mangsa jenayah,” jelas beliau.
Terdahulu Ketika berucap, Razarudin berkata, PDRM sebagai agensi penguat kuasa yang ‘Sedia Berkhidmat” 24 jam tujuh hari seminggu kepada masyarakat dan negara perlu sentiasa peka dengan ancaman semasa, bersiap siaga dalam mengadaptasi apa jua cabaran yang mendatang serta bertindak pantas dalam mengawal keadaan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, PDRM masih kekal relevan merentasi zaman dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat negara ini.
Lantaran itu beliau mahu 10 jabatan dalam PDRM saling lengkap-melengkapi dan bersatu hati dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. – MalaysiaGazette