KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menyifatkan dakwaan seorang penceramah motivasi yang dikasari pegawai unit kaunseling Markas ATM sebagai perselisihan faham yang seharusnya boleh dielakkan oleh kedua-dua individu terbabit.
Menurut ATM, pihaknya telah mengambil langkah mengharmonikan semula keadaan dengan mengatur pertemuan kedua-dua individu terbabit.
“Atas dasar semangat kekitaan dan setiakawan warga dan pesara ATM yang sentiasa meletakkan ATM sebagai lambang penyatuan, sesi pertemuan tersebut berakhir dengan penuh kemaafaan dan
kedua-dua individu terbabit bersetuju menarik semula laporan polis yang telah dibuat sebelum ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Pada Selasa lalu, seorang bekas pegawai tentera yang juga penceramah motivasi dan kepimpinan membuat laporan polis selepas mendakwa dikasari dan diugut pegawai unit kaunseling Markas ATM di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), di sini, Jumaat lalu.
Mejar (B) Mohammad Qayyum A. Badaruddin, 56, mendakwa, pegawai terbabit telah mengasarinya dengan cara merangkul tengkuknya sambil mengeluarkan kata-kata kesat.
Katanya, pegawai itu telah mencuri masa ceramahnya yang sepatutnya bermula pada pukul 4 petang.
Menurut ATM, isu itu telah diselesaikan dengan berhemah dan menyeru supaya semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi buruk terhadap insiden yang berlaku.
Mengulas mengenai insiden tersebut, ATM berkata, insiden perselisihan faham antara dua individu itu berlaku pada jam 4.20 petang 8 November lalu di Dewan Tun Templer, Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Kem Perdana Sungai Besi, di sini.
Menurutnya, insiden yang tular di media sosial itu melibatkan seorang Pegawai Kaunseling ATM dengan seorang Fasilitator Jemputan yang merupakan Pesara ATM.
“Fasilitator Jemputan tersebut diundang oleh Cawangan Tenaga Kerja, Bahagian Perkhidmatan Anggota, Markas ATM (BPA-CTK) bagi menjayakan Sesi Ceramah Motivasi dan Perkongsian Pengalaman bersama Pegawai Kadet ALK Pengambilan Tahun 2024 yang baru menyertai bidang ketenteraan.
“Insiden berlaku ketika Sesi Ujian Psikologi dan Kesihatan Mental sedang dilaksanakan terhadap kumpulan Pegawai Kadet ALK Pengambilan Tahun 2024 yang dikendalikan oleh Pegawai Kaunseling ATM terbabit,” ujarnya.
Menurut kenyataan itu, pada ketika itu telah berlaku gangguan teknikal pada sistem ujian atas talian yang tidak disengajakan menyebabkan sesi ujian itu berlanjutan sehingga melebihi masa yang ditetapkan.
Katanya, maklumat kelewatan ini telah disampaikan kepada Fasilitor Jemputan terbabit secara lisan oleh Pegawai Koordinasi daripada BPA-CTK di dewan tersebut.
Namun, jelasnya, setelah hampir 20 minit menunggu, Fasilitator Jemputan tersebut telah menghampiri sendiri Pegawai Kaunseling ATM itu bagi mendapatkan penjelasan lanjut kerana Sesi Ceramah Motivasi dan Perkongsian Pengalaman telah tertangguh dan
tidak dapat dimulakan oleh beliau mengikut masa yang ditetapkan.
Katanya, ini kerana beliau khuatir tidak dapat menghabiskan sesi ceramah tersebut kerana perlu bergegas ke lokasi lain bagi menghadiri satu majlis selepas sesi ceramah itu.
“Susulan itu, telah berlaku insiden pertengkaran dan perselisihan faham antara Pegawai Kaunseling ATM dengan Fasilitator Jemputan berkenaan yang kemudiannya dileraikan oleh Pegawai
Koordinasi dari BPA-CTK,” katanya.
Menurut kenyataan tersebut, berikutan itu, kedua-dua mereka telah bertindak membuat laporan polis secara berasingan. – MalaysiaGazette
Penceramah jemputan dakwa dikasari, diugut pegawai kaunseling Markas ATM