PETALING JAYA – Bank Negara dan dua kementerian dikatakan berdalih dalam soal kenaikan premium insuran perubatan yang membelenggu rakyat.
Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, Bank Negara memberitahu bahawa kos perubatan adalah dijaga oleh Kementerian Kesihatan.
Beliau memberitahu Sinchew Daily, Kementerian Kesihatan bagaimanapun berpendapat kenaikan kos perubatan mempunyai kaitan dengan kos hidup, sekali gus menolak kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Poay Tiong berkata, dalam keadaan saling berdalih itu, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying telah memanggil satu mesyuarat rentas kementerian untuk membincangkan isu itu.
Katanya, mesyuarat itu juga dihadiri enam Ahli Parlimen DAP termasuk beliau sendiri.
Menurutnya, hospital-hospital swasta telah mencatatkan keuntungan setiap tahun dan mereka juga diadu kerana memberi layanan berlainan untuk pesakit yang mempunyai kad perubatan dengan yang tidak mempunyai.
“Untuk pesakit yang mempunyai kad perubatan, pihak hospital akan melakukan pemeriksaan ke atas hidung dan telinga walaupun pesakit mengalami sakit mata.
“Biasanya pesakit juga akan mendengar cadangan pihak hospital untuk melakukan pemeriksaan berkenan kerana kosnya ditanggung insurans,” katanya.
Menurut Poay Tiong, syarikat insurans boleh menyelaras premium insurans berdasaran tuntutan untuk tempoh tiga tahun.
“Syarikat insurans tidak akan menjadi pihak yang rugi, kerana semuanya akan ditanggung oleh pencarum insurans.
“Oleh itu saya memberitahu Bank Negara untuk menolak permohonan kenaikan premium satu syarikat dan yang lain pun pasti akan takut untuk menaikkan harga secara sembarangan.
“Sebenarnya, premium insurans tidak perlu dinaikkan jika syarikat insurans berjaya mengawal kos,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Puchong, Yeoh Bee Yin berkata, data daripada Bank Negara menunjukkan kos perubatan di Malaysia meningkat pada 12.6 peratus pada tahun lalu, berbanding peningkatan 5.6 peratus pada peringkat global.
Beliau meminta Kementerian Kesihatan meningkatkan kawalan terhadap bayaran yang dikenakan hospital swasta.
Katanya, harga yang telus harus disediakan dan ditunjukkan kepada pesakit, tidak kira sama ada mereka mempunyai kad perubatan atau tidak.
Tambahnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup perlu menggunakan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan untuk memastikan pengguna tidak menjadi mangsa kenaikan premium insurans.
Harap dapat perhatian kerajaan dan tindakan sebaiknya supaya pengguna tidak terbeban.