PUTRAJAYA – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menolak dakwaan bahawa parti itu akan menukar mekanisme pengundian ‘satu anggota, satu undi’ kepada sistem perwakilan.
Ketua Penerangannya, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, cadangan itu hanya perbincangan dan tiada kata putus dibuat pucuk pimpinan parti.
“Sebagai Ketua Penerangan PKR, tidak ada keputusan (mengenai cadangan mekanisme pengundian parti ‘satu anggota, satu undi’ kepada sistem perwakilan), yang ada hanyalah perbincangan.
“Belum ada kata putus, hasrat kita memastikan bahawa semangat asal dalam parti bagi PKR mewakili seluruh rakyat Malaysia ini akan jadi prinsip dalam pertimbangan sebarang perkara ke depan, sukar untuk jawab tentang spekulasi,” katanya.
Beliau menyatakan demikian pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet, di Kementerian Komunikasi, hari ini.
Semalam, media melaporkan seorang ketua cabang parti itu didakwa menghantar surat kepada rakan sejawat untuk bersatu menentang cadangan menukar mekanisme pengundian parti ‘satu anggota, satu undi’ kepada sistem perwakilan.
Difahamkan, cadangan itu dibangkitkan pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), bulan lalu.
Dalam surat berkenaan, ketua cabang itu mendakwa cadangan tersebut akan menghadkan hak mengundi ahli, menjurus penurunan sokongan akar umbi.
Dakwaan itu sekali gus berupaya untuk mereka beralih sokongan kepada parti lain sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) kelak. – MalaysiaGazette