Kibaran Jalur Gemilang di puncak Menara Kuala Lumpur bagi memeriahkan sambutan Hari Malaysia 2023 yang bertemakan Malaysia MADANI 'Tekad Perpaduan Penuhi Harapan' ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 15 SEPTEMBER 2023. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Menara Kuala Lumpur (Menara KL) akan menganjurkan Turkish Airlines KL Tower International Towerthon Challenge 2024 (KLTITC24) yang akan berlangsung pada 8 Disember ini.

Ia merupakan sebuah acara mendaki tangga yang menjanjikan cabaran luar biasa kepada peserta tempatan dan antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, Nazli Saad berkata, memasuki tahun ke-22, KLTITC24 bukan sekadar pertandingan sukan ekstrem, tetapi medan untuk menguji daya ketahanan mental dan fizikal peserta mendaki lebih 1,608 anak tangga yang menjulang ketinggian 292 meter.

Katanya, edisi kali ini menawarkan hadiah lumayan bernilai RM80,000 kepada mereka yang berjaya mengatasi cabaran luar biasa itu.

“Bukan hadiah wang tunai yang menjadi fokus utama acara ini, tetapi peluang untuk menguji diri dan menyatukan peserta dalam semangat yang penuh ketabahan.

“KLTITC24 memberi ruang kepada individu untuk melangkaui batasan diri dan menikmati suasana persaingan yang menginspirasikan semangat kesukanan,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Nazli lagi, ini merupakan kali ketiga, Turkish Airlines kembali sebagai penaja utama dan memainkan peranan penting dalam meningkatkan status KLTITC24 ke arena global.

Selain Turkish Airlines, acara ini turut mendapat kerjasama Kementerian Belia dan Sukan, Tourism Malaysia, serta kolaborasi bersama pihak berkuasa seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

KLTITC24 bukan hanya menarik perhatian atlet tempatan tetapi juga menarik peserta dari seluruh dunia, menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab sukan ekstrem yang terus menarik minat para penggemar sukan lasak global, ujar Nazli.

Tambah beliau, sebagai tanda penghargaan terhadap semangat juang mereka, 100 peserta terbaik dari setiap kategori akan menerima baju-t, Finisher eksklusif beserta hadiah khas daripada penaja.

Pengiktirafan itu tidak hanya sebagai cenderahati sebaliknya, sebagai dorongan kepada peserta terus melangkah ke garisan penamat dengan semangat yang tinggi. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here