Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Mohd Suzeren Md Jamil (tiga dari kiri) menyampaikan cek cura tajaan bilik kediaman kepada Ahli Lembaga Pengarah UKM, Dato’ Yeow Wah Chin (tiga dari kanan) yang mewakili pengurusan tertinggi universiti.

BANGI – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus komited membantu pelajar kurang berkemampuan dengan menyediakan bilik kediaman secara percuma sepanjang tempoh
pengajian.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Prof. Madya Dr. Mohd Suzeren Md Jamil berkata, tajaan bilik kediaman merupakan inisiatif portfolio HEPA termasuk Pusat Hal Ehwal Pelajar, Pusat Perhubungan Alumni, Pusat Islam, Pusat Perumahan Pelajar dan Kolej Akademia dengan jumlah RM451,200.

“Jumlah ini dapat menaja sebanyak 51 bilik kediaman di 10 buah kolej, dan dapat mengurangkan beban kewangan seramai 408 pelajar bagi tempoh empat tahun.

“Kami sedar bahawa kejayaan akademik pelajar bukan sahaja bergantung kepada kualiti prestasi di dalam bilik kuliah, tetapi juga pada keselesaan dan kestabilan mereka di luar bilik kuliah,” katanya.

Menurutnya, terdapat juga inisiatif lain bagi memastikan pelajar dapat meneruskan pengajian di universiti tersebut.

Inisiatif seperti Biasiswa Sulung dan pelaksanaan Sistem e-Prihatin merupakan langkah proaktif yang diambil oleh pihak universiti dalam membantu meringankan beban kewangan pelajar.

“Program Pembangunan Siswa Sulung pada tahun ini sudah dimanfaatkan oleh seramai 484 pelajar B40 yang merupakan anak pertama dalam kalangan keluarga yang berjaya menyambung pengajian mereka diperingkat ijazah sarjana muda,” katanya.

Tambahnya, UKM turut melancarkan Sistem e-Prihatin UKM yang merupakan sistem komprehensif untuk permohonan bantuan kebajikan dan kewangan pelajar.

“Sistem ini bertujuan memastikan pangkalan data kebajikan pelajar sentiasa dikemas kini supaya bantuan kebajikan dapat disalurkan dengan tepat kepada mereka yang memerlukan.

“Melalui sistem ini, pelajar memohon pelbagai bentuk bantuan kewangan seperti bantuan yuran, sara hidup, rawatan perubatan, dan sebagainya. Ia bukan sahaja memudahkan proses permohonan bantuan, tetapi juga memastikan bantuan diberikan secara terus ke akaun pelajar dengan lebih cepat,” katanya.

Tambahnya, permohonan bantuan melalui sistem ini dibahagikan kepada dua kategori tabung bantuan iaitu Tabung Bantuan Kebajikan HEP dan Bantuan Zakat UKM.
“Semua pelajar UKM layak memohon Tabung Bantuan Kebajikan HEP, manakala Bantuan Zakat UKM dibuka kepada pelajar serta kakitangan UKM yang tergolong sebagai asnaf Muslim.

“Kami yakin bahawa sistem ini akan mempercepatkan proses penyaluran bantuan kepada pelajar yang layak dan membantu mereka menghadapi cabaran kewangan sepanjang tempoh pengajian di UKM,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast