SUBANG JAYA – Tiga suspek lelaki yang disyaki terlibat dalam kes ragut rantai emas daripada seorang lelaki, di sini, diberkas semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 1.30 tengah hari 12 Oktober lalu.
“Pengadu dalam laporan polis mendakwa dia telah disamun oleh suspek satu lelaki bangsa tidak pasti.
“Kerugian yang dialami pengadu adalah seutas rantai leher emas anggaran bernilai RM30,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan untuk tindakan lanjut.
Bertindak atas laporan polis dan maklumat, pada 15 November lalu jam lebih kurang 6.45 pagi, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Subang Jaya berjaya membuat tangkapan terhadap tiga orang suspek lelaki yang disyaki terlibat dalam kes samun itu.
Katanya, kesemua suspek warga tempatan berumur lingkungan 30an telah ditangkap di dua lokasi berasingan di Petaling Jaya dan Subang Jaya.
“Siasatan lanjut mendapati suspek masing-masing bekerja sebagai penghantar dokumen, pembeli emas dan pembantu kedai emas.
“Dua daripadanya mempunyai rekod jenayah dan narkotik dan pemeriksaan lanjut ke atas suspek berjaya membawa kepada rampasan beberapa barang kemas dan resit-resit pembelian emas serta sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC disyaki digunakan suspek melakukan jenayah ragut.
“Kesemua suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Shah Alam dan dua daripadanya dibenarkan direman selama sehari manakala seorang lagi direman sehingga 18 November ini bermula hari ini untuk membantu siasatan lanjut dalam kes ini,” ujarnya.
Menurut Wan Azlan, tangkapan ketiga-tiga suspek terbabit berjaya membantu polis menyelesaikan lapan kes ragut di daerah berkenaan dan siasatan masih diteruskan bagi mengenalpasti penglibatan suspek di daerah lain. – MalaysiaGazette