GOMBAK – Orang ramai diminta tidak membuat kesimpulan terhadap Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berhubung cadangan menghentikan pembiayaan kepada kursus universiti yang merekodkan kadar bayaran balik rendah.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zamrby Abdul Kadir berkata, pihaknya tidak akan campur tangan berhubung pekara itu kerana PTPTN akan melihat semua aspek sebelum sebarang tindakan dilakukan.
“PTPTN akan mengeluarkan kenyataan secara rasmi, saya tidak mahu mengulas lebih panjang kerana mereka ada jawatankuasa yang telah dibentuk. Biarlah mereka keluarkan kenyataan dan pandangan berpandukan kepada mesyuarat yang telah diadakan itu.
“Sebelum ini, keluar kenyataan berkaitan mereka yang tidak pernah bayar, saya fikir itu perlu diberi penekanan dan mustahak, bukan soal mereka yang bayar kemudian tidak bayar disebabkan tertentu.
“Semua perkiraan itu harus diambil kerana kita tahu keadaan mereka yang mungkin hari ini kerja, mungkin tahun depan diberhentikan dan sebagainya,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-40 di sini hari ini.
Tambah Zambry, komunikasi antara pihak PTPTN bersama peminjam adalah mustahak bagi mengetahui kedudukan serta kesusahan yang sedang dialami seseorang itu.
Tegasnya, aspek yang perlu diberi perhatian sepenuhnya dalam isu itu adalah peminjam yang tidak pernah membayar langsung pinjaman PTPTN sejak tamat pengajian mereka.
“Sebelum ini, banyak cadangan daripada pelbagai pihak mana yang terbaik kita ambil kerana kita tidak mahu dianggap sebuah institusi yang kejam tanpa ada perasaan, tanpa buat usul periksa tentang kedudukan mereka,” jelasnya.
Sebelum ini, PTPTN sedang mempertimbangkan untuk menghentikan pembiayaan kepada kursus universiti yang merekodkan kadar bayaran balik yang rendah.
Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, ia sebahagian usaha dengan universiti tempatan untuk menggalakkan bayaran balik dalam kalangan peminjam.
Pada masa sama, Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung mencadangkan kerajaan untuk menyekat ke atas peminjam yang liat melunaskan hutang PTPTN dari membeli hartanah, kereta atau melancong ke luar negara.
Langkah itu dianggap penting untuk dikuatkuasakan selepas PTPTN mahu mempertimbang untuk menghentikan pembiayaan kepada kursus universiti yang merekodkan kadar bayaran balik yang rendah. – MalaysiaGazette