PEKAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bercemar duli melawat ke Moh Karnival Makmur Pekan yang diadakan di Dataran Pekan di sini hari ini.
Keberangkatan baginda diiringi Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah.
Paduka baginda berangkat tiba di Dataran Pekan kira-kira pukul 11 pagi dan berkenan melawat ke reruai agensi kerajaan, reruai jualan dan gerai-gerai makanan selain bersantap bersama rakyat di tapak gerai makanan.
“Antara menu yang menjadi pilihan aginda berdua ialah satar, otak-otak dan cucur udang. Baginda juga berkenan memberi kurnia kepada kanak-kanak dan warga emas.
“Sebelum berangkat pulang, Al-Sultan Abdullah berkesempatan singgah di Pekan Lama,” katanya menerusi kenyataan dari Kesultanan Pahang.
Moh Karnival Makmur Pekan bermula sejak Jumaat lepas membawakan tema sains dan teknologi dengan mengetengahkan pelbagai informasi dan maklumat berkaitan.
Para pengunjung khususnya penduduk Pekan turut berkesempatan menyertai berbagai aktiviti yang dianjurkan antaranya Tok Gajah Challenge, Pekan Berselawat Bersama PU Lokman, Fun Run Pekan, Pertandingan Robotik Cilik dan Tech Talk.
Program Moh Karnival Makmur merupakan inisiatif Kerajaan Pahang untuk mendekati rakyat dan mempromosikan pelbagai aspek pembangunan komuniti bagi menggerakkan pembangunan ekonomi serta meningkatkan penglibatan masyarakat melalui aktiviti yang melibatkan usahawan kecil dan jabatan kerajaan. – MalaysiaGazette