MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mempelopori penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan dan Keselamatan Siber (FAIX) dalam kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dan nasional.
Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, pihaknya terus pro aktif dan menyerlah ke hadapan menyahut seruan negara dan Kementerian Pendidikan Tinggi dalam merealisasi dan melebar luaskan penawaran program dengan menubuhkan FAIX.
Jelasnya, UTeM komited untuk menjadi penyumbang utama penghasilan 200,000 pakar AI dan 100,000 pakar keselamatan siber menjelang 2030 selaras dengan visi Malaysia sebagai pemimpin teknologi serantau.
“Pada masa yang sama kami akan terus memimpin MTUN dan peringkat nasional dengan mempelopori inisiatif penubuhan fakulti baharu ini dengan gabungan dua elemen utama permintaan semasa dunia iaitu AI dan keselamatan siber.
“Selari dengan itu, perkara ini turut mengukuhkan bidang tujahan UTeM dalam Advanced Manufacturing and Computing Technology melalui integrasi AI dan Keselamatan Siber,” ujarnya dalam kenyataan.
Massila berkata, UTeM memperincikan FAIX sebagai pusat kecemerlangan (CoE) bagi penyelidikan AI dan keselamatan siber di UTeM menerusi integrasi penyelidikan bersepadu untuk membantu menyelesaikan cabaran semasa industri.
“Ini tentunya turut menjadi anjakan dalam kepelbagaian program pengajian TVET termaju di UTeM untuk menghasilkan graduan yang berkemahiran tinggi menerusi program baharu merangkumi ijazah sarjana muda, sarjana dan kedoktoran dalam bidang AI, Keselamatan Siber dan bidang tumpuan khusus seperti Keselamatan AI dan Privasi Data.
“Kurikulum dan silibus program telah dirangka dengan teliti bersama input daripada pakar industri untuk memastikan relevansi dan standard yang tinggi di samping penawaran program pengajian ini akan melahirkan graduan berkelulusan AI dan keselamatan siber yang kompeten dan diperlukan oleh pasaran kerja global,” katanya.
Katanya lagi, UTeM berpengalaman luas dalam bidang gabungan AI dan keselamatan siber ini kerana dua jabatan sedia ada di Fakulti Teknologi Maklumat & Komunikasi (FTMK) dikembangkan menjadi fakulti baharu.
“Justeru menjadi keterujaan kepada kami dalam merealisasikan proses lanjutan dan pelebaran program berintegrasi komprehensif AI dan keselamatan siber ini kerana kami mempunyai kepakaran tinggi dan siri pencapaian unggul dalam kedua-dua bidang ini,” ujarnya.
Mengulas tentang operasi FAIX, Massila menyatakan gerak kerja penubuhan telah pun bermula pada tahun ini dan proses operasi sepenuhnya dijayakan dengan pengembelengan penuh pada awal tahun 2025.
“Sementara itu, FAIX akan mula menerima pelajar baharu bagi kemasukan tahun 2025/2026 yang dijadualkan pengambilannya pada bulan Oktober nanti,” ujarnya. – MalaysiaGazette