KUALA LUMPUR – Jualan Rahmah Madani yang sedang dilaksanakan serta memanfaatkan jutaan rakyat di negara ini bakal diperluaskan kepada mahasiswa di kampus seluruh negara.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan Kos Sara Hidup akan memperkenalkan kaedah baharu yang dinamakan Program Jualan Rahmah Madani di Kampus (PJRM@Kampus) bermula tahun 2025.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, program itu bermatlamat memperluaskan kumpulan bersasar penerima bermanfaat kepada golongan mahasiswa di kampus institut pengajian tinggi.
Namun, katanya, untuk menentukan bentuk kaedah, mekanisme serta jenis barang jualan dalam PJRM@Kampus, KPDN memilih suara daripada kumpulan sasar itu sendiri .
“Untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan PJRM@Kampus, kita memperkasa dan memberi mandat kepada Gerakan Pengguna Siswa (GPS) yang aktif di setiap kampus selaku rakan strategi kita (KPDN) untuk mengemukakan syor dan pandangan kepada KPDN apa kaedah dan mekanisme terbaik dan bentuk barangn sesuai untuk dijual dalam PJRM di kampus-kampus nanti.
“Jadi, kita harapkan dengan adanya suara-suara kumpulan sasar iaitu mahasiswa sendiri, ia kelak akan memastikan PJRM@Kampus berlangsung dengan lebih efektif, berkesan dan mencapai objektif kerajaan,” katanya.
Beliau terdahulu menyempurnakan Penutupan Majlis Perdana Gerakan Pengguna Siswa Peringkat Kebangsaan 2024 di ibu negara hari ini.
Beliau menambah, PJRM@Kampus akan dilaksanakan secara berperingkat dan semestinya meliputi semua IPT termasuk politeknik dan IPTS di seluruh negara.
Daripada segi kekerapan jualan PJRM@Kampus, KPDN akan berbincang mengenai jumlah peruntukan kewangan yang akan ditetapkan termasuk di dalam dan luar premis, secara bergerak yang kini mula dilaksanakan di pasar-pasar terpilih di seluruh negara.
“Kita sasarkan seboleh-bolehnya PJRM@Kampus dilaksana seawal Januari 2025 secara berperingkat termasuk IPTS dan politeknik memandang terdapat juga gerakan GPS di kampus-kampus tersebut dan sasaran semua IPT itu berdasarkan sesi libat urus kita dengan GPS di setiap IPT berkenaan.
“Kita akan melaksanakan PJRM@Kampus sebagai projek rintis di beberapa IPT terlebih dahulu sebagai permulaan untuk melihat sambutan serta permintaan sekiranya tinggi dan jika luar biasa GPS akan jadi barisan hadapan memastikan pelaksanaannya lebih efektif,” ujarnya.
Menurutnya, KPDN juga belum mempunyai sebarang jangkaan jumlah mahasiswa yang bakal bermanfaat menerusi PJRM@Kampus kerana pihaknya perlu mendapatkan syor dan pandangan mengenai kaedah pelaksanaanya daripada GPS.
Armizan juga memaklumkan GPS diberi tempoh satu hingga dua minggu untuk mengumpul dan mengemukakan syor dan pandangan mereka mengenai kaedah melaksanakan PJRM@Kampus.
“Saya fikir mencukupi (dua minggu) sebab mereka berkampus selama bertahun lama dan tahu apa keperluan rakan-rakan mereka di kampus.
“Makanan juga terlibat dan kalau ada keperluan barang alat tulis juga dipertimbangkan untuk PJRM@kampus tapi bukan barang basahlah, sebab ada yang duduk luar kampus.
“Selepas kita teliti syor dan pandangan GPS, kemudian kita akan lihat kuota untuk dipertimbangkan serta bincangkan kemudian siapa akan laksana sama ada koperasi di IPT atau membawa pihak dari luar,” jelasnya. – MalaysiaGazette