Laetitia Anwen Ng

KENINGAU – Laetitia Anwen Ng, 20, pelajar program Kosmetologi di Kolej Vokasional (KV) Keningau, dipilih mewakili Malaysia di APEC Forum on Women and Youth Empowerment, yang diadakan di Taipei, Taiwan baru-baru ini.

Acara ini dianjurkan oleh kementerian pendidikan Taiwan.

Laetitia bersama seorang pensyarah dari kolej yang sama, Sydney Engelbert, telah dipilih oleh Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menghadiri konvensyen global ini, yang disertai 80 delegasi.

Program yang mendapat tajaan penuh oleh penganjur  berlangsung selama tiga hari ini dengan menampilkan pembicara yang berpengalaman dan terkemuka.

Matlamat konvensyen ini untuk memperkasakan peranan wanita dan belia dalam memacu inovasi serta perubahan yang memberi impak positif kepada keusahawanan, pendidikan, dan pembangunan kemahiran dengan menggabungkan teknologi terkini dan amalan kelestarian.

Selain dialog, bengkel dan pembentangan, para peserta juga telah menyertai lawatan lapangan ke beberapa organisasi dan inisiatif yang mempraktikkan amalan kelestarian dan keusahawan sosial.

Laetitia terpilih mewakili Malaysia atas sumbangannya dalam aktiviti kesukarelawanan belia khususnya dalam perkhidmatan komuniti dan penganjuran kem kepimpinan di Keningau, usaha pengumpulan dana dan dana awam untuk membantu pesakit kanser serta keluarga berpendapatan rendah, serta penyertaannya yang aktif dalam program pengantarabangsaan melibatkan delegasi dari negara lain ke Malaysia.

Penuntut ini meluahkan rasa gembiranya kerana dapat mengambil bahagian dalam program ini yang memberi motivasi kepadanya untuk terus membantu komuniti melalui penglibatan sivik dan aktiviti kesukarelawanan.

Laetitia merancang untuk melancarkan perusahaan sosialnya sendiri yang membolehkan dia menggunakan kemahirannya sebagai seorang pakar kecantikan.

Pengarah KV Keningau, Nordin Akup, mengucapkan terima kasih kepada Laetitia dan guru yang terlibat, Sydney, atas usaha mereka yang memberi impak besar sehingga melayakkan mereka menghadiri konvensyen ini dengan tajaan penuh pihak penganjur.

Pengalaman ini telah memperkayakan lagi kemahiran mereka dalam menggabungkan elemen keusahawanan dan pembangunan lestari ke dalam inisiatif mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast