Antara aktiviti yang dijalankan.

KUALA NERUS – Memahami keperluan mendesak untuk melindungi ekosistem marin yang semakin terancam, Research Interest Group (RIG) REEFS, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), menganjurkan Program Pendidikan & Kesedaran Marin REEFS 2024.

Diketuai oleh Prof. Madya Dr. Tan Chun Hong, program ini berlangsung di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya melindungi ekosistem marin yang menjadi khazanah alam semula jadi negara.

Bekerjasama dengan organisasi seperti The International SeaKeepers Society, Aquawalk Sdn Bhd dan Kapas Conservation Society, program itu menggabungkan elemen pendidikan, kesedaran dan libatsama komuniti khususnya pelajar sekolah.

Kira-kira 200 pelajar dari 10 sekolah terpilih sekitar Terengganu turut serta dalam aktiviti menarik seperti pertandingan “Waste to Wealth” bagi menguji kreativiti mereka untuk menukar sisa kepada produk berguna.

Selain itu, turut diselitkan aktiviti berbentuk sukaneka santai yang mengukuhkan hubungan komuniti sambil menyampaikan mesej pemuliharaan alam sekitar.

Keindahan dan kepentingan ekosistem marin akan diterokai melalui pelbagai aktiviti pendidikan.

Selain menjadi simbol keindahan semulajadi, ekosistem marin memainkan peranan penting dalam keseimbangan biodiversiti dunia dan kelangsungan rantaian makanan global.

Namun, ancaman seperti pemanasan global, pencemaran plastik dan aktiviti manusia yang tidak terkawal terus memburukkan lagi keadaan terumbu karang.

Kajian terkini oleh penyelidik UMT menunjukkan kadar kehilangan karang hidup di Malaysia adalah sekitar 1 peratus setahun, manakala fenomena kelunturan karang besar-besaran baru-baru ini mengakibatkan kematian batu karang di perairan Terengganu pada kadar antara 30 hingga 50 peratus.

“Pemanasan global menyebabkan peningkatan suhu air laut, mengakibatkan kelunturan karang apabila karang kehilangan alga simbiosis yang memberikan warna dan nutrisi kepadanya.

“Selain itu, peningkatan asidifikasi laut dan pencemaran bahan kimia serta plastik juga mengancam kehidupan marin itu.”,” jelas ..Dr. Tan Chun Hong.

Tambahnya, pemuliharaan ekosistem marin tidak hanya berkisar kepada biodiversiti, tetapi turut memberi kesan besar kepada sektor ekonomi, perubatan dan bioteknologi.

Penganjuran kempen itu memperlihatkan sumbangan pelajar jurusan Biologi Marin UMT yang terlibat secara langsung, menunjukkan komitmen universiti dalam mendidik masyarakat untuk lebih menghargai manfaat besar yang ‘dihidangkan’ oleh lautan kepada kehidupan seharian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast