Pelajar-pelajar SMK Putrajaya Presint 9 (1) menyertai program We Protect We Survive (WPWS) 3.0 anjuran Kelab Mahasiswa Kimia, Fakulti Sains, UPM.

SERDANG – Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Kelab Mahasiswa
Kimia, Fakulti Sains telah mengadakan program We Protect We Survive (WPWS) 3.0 untuk meningkatkan kesedaran mengenai mikroplastik.

Program yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (1) ini untuk mendidik pelajar-pelajar mengenai impak negatif yang dibawa oleh mikroplastik ke atas alam sekitar serta kepentingan amalan kitar semula.

Ketua program, Nur Faizatul Iqma Mohd Jupri berkata, mikroplastik adalah zarah plastik yang sangat kecil dan boleh mendatangkan ancaman besar kepada ekosistem serta kesihatan manusia.

“Plastik yang digunakan secara berpanjangan boleh menjadi asbab kepupusan flora dan fauna baik spesies daratan mahupun lautan kerana penggunaan plastik tanpa kawalan
memberikan impak boleh membahayakan ekosistem serta merosakkan habitat haiwan.

“Haiwan yang terdedah kepada plastik serta sering memakannya secara tidak sengaja boleh menyebabkan kecederaan, keracunan atau kematian,” katanya.

Penasihat program, Prof Madya ChM. Dr. Yusran Sulaiman berkata, mikroplastik boleh terlepas ke dalam alam sekitar melalui pelbagai cara serta boleh berada dalam produk pengguna seperti kosmetik dan bahan pencuci harian di rumah.

“Penggunaan plastik secara tidak terkawal harus dihentikan untuk mengurangkan
pencemaran plastik yang telah menjadi masalah global yang amat kritikal,” katanya.

Pensyarah dari Fakulti Sains, Dr. Mohd Farid Ismail berkata, usaha ini dilakukan untuk memberi didikan kepada warga sekolah mengenai ancaman mikroplastik serta mempertingkatkan lagi pemahaman mereka mengenai amalan mesra alam.

“Mikroplastik bukan hanya ancaman kepada hidupan marin, tetapi juga boleh masuk ke
dalam rantai makanan manusia, memberikan kesan jangka panjang yang belum sepenuhnya difahami.

“Penyelesaian terhadap masalah mikroplastik harus melibatkan pendekatan yang holistik supaya alam sekitar dilindungi dan kesihatan manusia terjaga,” katanya.

Program yang telah disertai oleh 600 orang pelajar itu turut memfokuskan rasa kecintaan terhadap alam sekitar serta mengasah minat pelajar untuk menceburi bidang Sains dan Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Dalam pada itu, kempen Larangan Penggunaan Plastik Sekali Guna dan Polisterin yang telah dilancarkan oleh UPM juga menjadi sebahagian daripada fokus utama program ini untuk mengurangkan jejak karbon dan ekosistem yang mampan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast