KUALA LUMPUR – Tonggak pertahanan Perak FC, Shivan Pillay sudah tidak sabar untuk mengharungi kempen Unifi Piala Malaysia 2024-2025 yang bakal bermula Jumaat ini dengan menentang Kelantan Darul Naim FC.
Melihat kepada prestasi semasa pasukan, pemain berusia 23 tahun itu mahu Perak FC mengulangi pencapaian terbaik pasukan di pentas Piala Malaysia edisi ke-98 kali ini.
Dengan komitmen dan kesungguhan rakan sepasukan, Shivan yakin skuad kendalian Yusri Che Lah bakal menjadi pencabar hebat kepada pasukan-pasukan lain.
“Untuk Piala Malaysia, tahun lepas kami mara hingga separuh akhir. Sudah tentu musim ini Perak FC sekurang-kurangnya mahu melepasi pusingan separuh akhir dan beraksi lebih baik.
“Kempen Liga Super dan Piala Malaysia itu berbeza, dari segi format dan sebagainya. Kita akan buat yang terbaik dan mengharapkan untuk mara lebih jauh,” ujarnya di Facebook Malaysia Football League di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Shivan melihat banyak sisi positif pasukan Perak ketika berdepan Johor Darul Ta’zim baru-baru ini.
Biarpun pasukannya tewas, usaha dan kesungguhan rakan sepasukan amat baik sambil mengharapkan semangat tidak mudah mengalah itu dapat diteruskan.
“Bagi saya di separuh masa kedua kita berjaya tunjukkan yang kita mampu bersaing dengan JDT. Mereka bermain dengan bagus dan saya bangga dengan rakan sepasukan,” ujarnya.
Sementara itu, 16 kelab terbaik akan berentap bagi merebut piala berprestij di Malaysia dan Perak FC telah diundi berdepan Kelantan Darul Naim FC untuk aksi pusingan 16 Unifi Piala Malaysia 2024-2025.
Format saingan Unifi Piala Malaysia 2024-2025 sama seperti edisi sebelum ini di mana aksi pusingan 16, suku akhir dan separuh akhir akan dimainkan secara timbal balik.
Perlawanan pertama pusingan 16 Unifi Piala Malaysia bermula hari ini. – MalaysiaGazette