Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia meraikan 87 graduan sempena Istiadat Konvokesyen Institut Kraf Negara (IKN) ke-22 hari ini.

RAWANG – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia meraikan 87 graduan sempena Istiadat Konvokesyen Institut Kraf Negara (IKN) ke-22 yang berlangsung di Dewan Cindai, IKN di sini hari ini.

Istiadat konvokesyen melibatkan seramai 48 graduan diploma Seni Kraf, empat penerima Sijil Seni Kraf, 26 penerima Sijil Kemahiran Malaysia, dua penerima Sijil Kemahiran Tenun Pahang Diraja serta tujuh penerima Sijil Kemahiran Malaysia melalui Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (SKM-PPT).

Antara bidang graduan-graduan ini termasuklah Seni Kraf Batik, Seni Kraf Tenunan, Seni Kraf Seramik, Seni Kraf Kayu, Seni Kraf Logam serta Seni Kraf Rotan dari graduan dari Kampus Induk IKN Rawang, Kampus Satelit IKN Sabah dan Sarawak, serta Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam di Pekan, Pahang.

Istiadat disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Wira Roslan Tan Sri Abdul Rahman yang turut melahirkan rasa teruja dan bangga dengan pencapaian setiap graduan kelahiran IKN pada tahun ini.

Ketika menyampaikan ucapan beliau, kata Wira Roslan, MOTAC melalui Kraftangan Malaysia sentiasa komited dalam memberi peluang dan pilihan pengajian berteraskan akademik serta kemahiran kraf di IKN termasuk pembelajaran sepanjang hayat.

Jelasnya, IKN juga berjaya mendapat status pusat bertauliah (PPT) daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran bawah Kementerian Sumber Manusia.

“Tanggapan segelintir terhadap bidang seni dan budaya tidak begitu penting serta tidak menyumbang kepada masa depan mahupun mempunyai peluang pekerjaan adalah tidak tepat sama sekali. Kraftangan Malaysia telah berjaya hasilkan 6,885 usahawan selain menjana pendapatan sebanyak RM328.4 juta sehingga 31 Oktober lepas.

“Dasar TVET Negara 2030 juga satu tindakan komprehensif dalam merangka pemerkasaan TVET negara dengan menyasarkan sekurang-kurangnya 55 peratus lepasan SPM bagi lanjutan pengajian dalam bidang ini menjelangnya 2025,” katanya hari ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Wira Roslan Tan Sri Abdul Rahman.

Dalam pada itu, buat kali pertama, seramai tujuh graduan dianugerahkan SKM-PPT dalam bidang kraf batik dan seramik.

Sempena konvokesyen ini, Pesta Konvokesyen IKN turut diadakan dari 21 hingga 23 November 2024 di Dataran Ilmu, IKN dengan pelbagai pengisian menarik termasuk Jualan dan Demonstrasi Produk Kraf, pameran jurusan seni kraf seperti batik, logam, kayu, seramik, tenunan, dan rotan.

Aktiviti lawatan berpandu juga disediakan untuk memberikan penerangan kepada pengunjung yang dibuka antara 10.00 pagi hingga 6.00 petang, menawarkan peluang untuk lebih mendekati seni dan warisan kraf tempatan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast