KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Maslan mengakui kecewa susulan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) lewat disiapkan sebagai mana tempoh ditetapkan.
Berikutan itu Timbalan Menteri Kerja Raya itu mengingatkan syarikat konsesi yang melaksanakan projek tersebut supaya belajar daripada India yang mampu menyiapkan pembinaan jalan sejauh 100 kilometer hanya dalam masa 100 jam.
“EKVE sudah 10 tahun saya banyak kali sebut kepada syarikat konsesi EKVE ini, saya kata belajar daripada pembinaan jalan yang dilakukan di India, ada sebatang jalan di India itu 100km siap dalam tempoh 100jam, maknanya 1km jalan siap 1 jam, yang ini lebih kurang 40km jalan EKVE 10 tahun tak siap-siap.
“Jadi, ini adalah satu yang menyayat hati dan mendukacitakan,” katanya semasa pengulungan peringkat Jawatankuasa bagi Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 bagi Kementerian Kerja Raya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab pertayaan dibangkitkan Rodziah Ismail (PH-Ampang) yang meminta kementerian menyatakan bila tarikh muktamad projek EKVE akan siap selepas hampir 10 tahun ia berjalan.
Pada Mac tahun lalu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek EKVE dijangka siap dan dibuka secara berperingkat mulai tahun 2024.
Katanya, projek itu sehingga kini telah siap sebanyak 91 peratus dan terhenti seketika pembinaannya akibat isu kenaikan kos pembinaan. – MalaysiaGazette