Norena (kanan) menyempurnakan simbolik penyerahan ayam mentah beku kepada Zanariah.

MELAKA – Sebanyak 300 kilogram (kg) ayam mentah tanpa logo halal sah yang dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka September lalu diserahkan kepada Zoo Melaka hari ini.

Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar berkata, kesemua 79 ekor ayam dan beberapa bahagiannya yang telah dibekukan bernilai RM3,800 itu adalah daripada satu kes mahkamah yang sudah selesai sebelum ini.

Bagi mengelak pembaziran dalam melupuskan bahan kes itu, pihaknya memilih untuk mengagihkannya kepada haiwan karnivor di zoo berkenaan yang memerlukan 50 kg daging sehari.

“Bagi sesetengah barang itu, pelupusan mungkin dibuat menggunakan mesin tapi untuk barang-barang makanan sejuk beku ini kita boleh mengelakkan pembaziran.

“Sebab itu hari ini kita dermakannya sebagai cara tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada agensi yang sesuai seperti Zoo Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Pelupusan Ekshibit KPDN Melaka di stor KPDN, Krubong di sini hari ini.

Norena Jaafar

Program turut menyaksikan penyerahan rampasan ayam mentah sejuk beku itu kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Datin Sapiah Haron dan Pengarah Zoo Melaka, Zanariah Khamis.

Mengulas lanjut, Norena berkata, turut dilupuskan adalah 1,025 barangan tiruan pelbagai jenis antaranya syampu, minuman, pakaian dan aksesori telefon bimbit bernilai lebih RM88,000 yang diarah lupus oleh pihak mahkamah.

“Kesemua barang yang dilupuskan ini membabitkan tujuh kes yang sudah selesai kes pendakwaan di mahkamah melibatkan pelanggaran di bawah Akta Cap Dagang 2018 dan Akta Perihal Dagangan 2011.

“Sepanjang tahun ini KPDN telah merampas pelbagai barangan daripada 352 kes melibatkan jumlah rampasan bernilai lebih RM803,722,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here