Pengarah Eksekutif Harmony Excellence Holidays Sdn Bhd, Nor Hashim Abdullah bergambar bersama pada Majlis Penyerahan Lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) di Hotel Dorsett, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 21 NOVEMBER 2024

PUTRAJAYA – Harmony Excellence Holidays Sdn. Bhd. menyifatkan pelantikan syarikat itu sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) oleh Lembaga Tabung Haji sebagai anugerah yang tidak ternilai.

Pengarah Eksekutifnya, Nor Hashim Abdullah berkata, ini kerana lesen itu menjadi idaman semua syarikat pelancongan tempatan kerana mereka perlu melalui proses saringan yang sangat ketat dan mencabar.

Menurut beliau, pihaknya bersyukur kerana permohonan kali kedua akhirnya berjaya apabila pihak pengurusan tertinggi melakukan bedah siasat selepas pemohonan kali pertama menemui kegagalan.

“Ini kali kedua kami mohon dan melalui satu saringan yang sangat ketat dan prosedur yang sangat mencabar buat kami untuk syarat-syarat yang diletak untuk lesen PJH ini sangat tinggi.

“Kami sangat bersyukur dan apabila diumumkan mendapat lesen PJH, saya rasa macam hendak menangis dan satu kegembiraan yang luar biasa. Bagi syarikat pelancongan tempatan apabila dapat lesen PJH, satu anugerah yang besar.

“Lepas gagal yang pertama kami buat bedah siasat mencari kekurangan dan kami perbaikinya di mana mohon sekali lagi dan alhamdulillah dapat walaupun dalam keadaaan ragu-ragu sama ada permohonan lulus atau tidak.

“Ini sebab saingan sengit dan ramai yang memohon dan apabila berjaya semua kakitangan Harmony gembira sehingga mengalirkan air mata,” katanya.

Pengarah Eksekutif Harmony Excellence Holidays Sdn Bhd, Nor Hashim Abdullah bercakap ketika ditemubual pada Majlis Penyerahan Lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) di Hotel Dorsett, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 21 NOVEMBER 2024

Beliau ditemui oleh selepas Majlis Penyerahan Lesen PJH 1446H/2025M yang disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd. Na’im Mokhtar di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Hamadah Syed Othman.

Mengulas lanjut, Nor Hashim memberitahu, Harmony Excellence Holidays berazam untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada bakal haji sebagai mana yang ditawarkan dalam ibadah umrah sejak beroperasi 20 tahun lalu.

Beliau turut menasihati semua  bakal jemaah haji agar tidak terlibat dalam kes penipuan ibadah haji yang semakin tinggi sebaliknya memilih syarikat tempatan pelancongan yang telah diberi lesen PJH kerana memenuhi kriteria ketat yang ditetapkan.

Sebelum ini, Harmony Excellence Holidays dikenali menguruskan jemaah di kalangan golongan orang kenamaan (VIP) dan selebriti selain jemaah sama yang pernah menggunakan khidmat syarikat itu.

Syarikat itu juga antara pelopor Pakej Ramadan Iktikaf untuk menunaikan ibadah umrah bagi tempoh yang lama di sana iaitu kira-kira 50 hari berbanding umrah biasa selama 12 hari. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast