Mas Ermieyati Samsudin

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati kontrak Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) antara kerajaan dengan Bestinet Sdn Bhd (Bestinet) yang ditandatangani pada September lalu, adalah langkah kurang cermat.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ia disebabkan caj bayaran yang dikenakan adalah tinggi dan akan membebankan majikan serta pekerja asing.

Katanya, keputusan kerajaan untuk menandatangani kontrak itu dimaklumkan kepada PAC dalam prosiding tindakan susulan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Bagi Syor-Syor Laporan PAC Parlimen berhubung sistem terbabit diadakan 6 November lalu, berdasarkan Arahan Perbendaharaan 304 (b) pindaan 2023.

“Dalam laporan tindakan susulan ini, PAC telah memberikan ulasan pada setiap maklum balas yang diberikan KDN dan KESUMA terhadap lima syor yang dikemukakan jawatankuasa ini.

“Berikutan itu, PAC sebulat suara dalam perbincangan khas yang diadakan semalam membuat keputusan untuk memulakan prosiding berhubung perolehan sistem FWCMS oleh KDN pada 10 Disember ini.

“PAC akan memanggil Jawatankuasa Induk FWCMS yang dipengerusikan Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta tiga ahli jawatankuasa induk, termasuk Peguam Negara, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha (KSU) KDN, Datuk Awang Alik Jeman; KSU KESUMA, Datuk Azman Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Jabatan Digital Negara, Dr Faziah Abu Bakar,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Dalam prosiding itu, saksi yang hadir adalah Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan) Kementerian Kewangan (MOF); Ramzi Mansor, Ketua Setiaushaa KDN, Datuk Awang Alik Jeman dan Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Azman Mohd Yusof.

Prosding diadakan bagi mengetahui maklum balas KDN dan KESUMA terhadap lima syor yang dikemukakan PAC dalam laporan mengenai isu berkenaan yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 3 Julai lalu.

Mengulas tindakan memanggil pihak terbabit, Mas Ermieyati, berkata ia penting untuk mendapat gambaran lebih jelas mengenai tindakan kerajaan menandatangani kontrak dengan syarikat berkenaan.

Jelasnya, keterangan dan penjelasan daripada Jawatankuasa Induk FWCMS itu penting bagi PAC mendapatkan justifikasi terhadap keputusan kerajaan menandatangani kontrak perjanjian sistem berkenaan dengan Bestinet. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast