Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyerahkan lesen Pengelola Jemaah Haji kepada Pengarah Eksekutif Harmony Excellence Holidays Sdn Bhd, Nor Hashim Abdullah pada Majlis Penyerahan Lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) di Hotel Dorsett, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 21 NOVEMBER 2024

PUTRAJAYA –  Semua Pengelola Jemaah Haji (PJH) diseru untuk terus menawarkan pakej haji ekonomi bernilai bawah RM50,000 sebagai salah satu inisiatif bagi membantu lebih ramai bakal haji untuk menunaikan ibadah haji dengan harga berpatutan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd. Na’im Mokhtar berkata, kerajaan akan terus memantau dan menangani isu penipuan pakej haji dan umrah yang sering menjadi isu hangat setiap tahun.

Beliau turut menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan memastikan pakej haji yang dipilih adalah melalui syarikat yang dilesenkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH).

“Hampir setiap musim haji, kita akan mendengar banyak berita berkaitan penipuan pakej haji dan umrah dilaporkan oleh pihak media.

“Dengan kerjasama erat dengan pihak Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan syarikat-syarikat berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), kerajaan memandang serius dan bertekad untuk menangani kes penipuan pakej haji dan badal haji yang berleluasa ini.

“Penipuan ini mengakibatkan ramai bakal haji kehilangan wang simpanan mereka dan ada yang juga terkandas di lapangan terbang selain terdapat juga kes di mana jemaah haji menunaikan haji dalam keadaan ketakutan kerana menggunakan visa pelancong yang jelas menyalahi peraturan Kerajaan Arab Saudi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Lesen PJH 1446H/2025M, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Hamadah Syed Othman.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berucap ketika hadir pada Majlis Penyerahan Lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) di Hotel Dorsett, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 21 NOVEMBER 2024

Pada majlis itu, TH melantik 37 syarikat pelancongan tempatan, termasuk anak syarikatnya Tabung Haji Travel & Services Sdn Bhd (THTS) sebagai PJH bagi musim haji 1446H/2025M.

Penambahan bilangan PJH kepada 37 syarikat pelancongan tempatan bagi musim depan itu berbanding 25 syarikat PJH pada musim lalu menunjukkan komitmen TH dalam memberi peluang kepada syarikat pelancongan tempatan yang telah memenuhi syarat dan kriteria bagi mengelola jemaah haji negara.

Mengulas lanjut, Mohd. Na’im berkata, TH sangat terbuka dalam pemberian Lesen PJH kepada syarikat pelancongan yang memohon serta memenuhi kelayakan dan seterusnya melepasi penilaian agensi itu

“Berdasarkan proses pemilihan, penilaian dan semakan yang dilakukan, saya yakin syarikat-syarikat PJH yang telah terpilih ini memiliki kapasiti yang teguh, kepakaran dan pengalaman yang mencukupi serta komited memberikan perkhidmatan terbaik dan menjaga kebajikan jemaah haji Malaysia.

“Mana-mana syarikat pelancongan yang berminat untuk mengelolakan jemaah haji, mereka boleh memohon lesen melalui Sistem Agensi Haji yang boleh dicapai di laman web TH”, katanya lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyerahkan lesen Pengelola Jemaah Haji kepada Pengarah Eksekutif Harmony Excellence Holidays Sdn Bhd, Nor Hashim Abdullah pada Majlis Penyerahan Lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) di Hotel Dorsett, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 21 NOVEMBER 2024

Mohd. Na’im memberitahu, bagi memudahkan urusan haji, TH juga telah melancarkan Sistem Agensi Haji iaitu satu sistem digital untuk memudahkan permohonan, penilaian dan pemantauan perkhidmatan yang disediakan oleh PJH.

“Sistem ini dijangka akan meningkatkan kualiti perkhidmatan, mempercepatkan proses, dan memudahkan pengawasan perkhidmatan sepanjang musim haji.

“Melalui inisiatif digital ini, kami percaya bahawa sistem ini akan memberikan kemudahan kepada pengurusan TH dan syarikat-syarikat PJH untuk mendapat akses kepada maklumat bagi memastikan ketelusan dalam operasi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast