Sekitar majlis perasmian dan pelancaran program Kembara Umrah dan Ziarah Premium di kampus induk UTem, Durian Tunggal, baru-baru ini.

MELAKA – Buat julung kalinya Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menganjurkan program Kembara Umrah dan Ziarah Premium bersama dengan tajaan subsidi sebanyak 30 peratus daripada harga pakej umrah kepada kakitangannya yang layak.

Program itu merupakan kerjasama yang dijayakan oleh Pusat Islam UTeM bersama dengan UTeM Holdings Sdn Bhd (UHSB).

Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, pihaknya sentiasa prihatin dan menjaga kebajikan kakitangan dan antaranya dengan menjayakan program kembara umrah dan ziarah menerusi pakej umrah premium.

Jelasnya, berteraskan keprihatinan ini maka UTeM menerusi UHSB telah menaja subsidi sebanyak 30 peratus daripada bayaran harga pakej umrah yang dipilih, bagi kakitangan UTeM daripada kalangan kumpulan pelaksana untuk menikmati keistimewaan ini.

“Pada masa yang sama universiti menerusi UHSB turut cakna meringankan bebanan kewangan dengan menyediakan kemudahan pembiayaan tanpa faedah (kosong peratus) kepada kakitangan yang ingin menunaikan umrah melalui program Kembara Umrah dan Ziarah UTeM-UHSB ini.

“Justeru UTeM ke hadapan dalam aspek ini dengan mempelopori inisiatif membuka peluang kepada kakitangan dengan menaja subsidi dan pembiayaan tanpa faedah yang pertama kali dalam sejarah,” ujarnya sewaktu majlis pelancaran program berkenaan di Kampus Induk UTeM baru-baru ini.

Kumpulan pertama yang telah berdaftar akan mula menjalani ibadah umrah bermula dari 16 hingga 27 Disember 2024 melibatkan seramai 39 orang dari kalangan kakitangan, ahli keluarga mereka serta pesara UTeM.

“Daripada jumlah tersebut seramai 27 orang peserta daripada kalangan staf UTeM telah menggunakan kemudahan Skim Pembiayaan Umrah Tanpa Faedah (0%) UTeM-UHSB.

“Sementara itu, seramai 22 orang staf UTeM layak dan telah terpilih untuk menerima subsidi penajaan sebanyak 30 peratus daripada dari harga pakej umrah yang dipilih menerusi tajaan daripada UHSB.

“Untuk projek pertama ini UHSB telah membelanjakan kos pendahuluan umrah (termasuk subsidi penajaan) sebanyak RM310,585.00,” ujar Massila dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, program  turut menggunakan kepakaran UTeM yang mana mutawwif dan tenaga pengajar umrah adalah dari kalangan staf Pusat Islam UTeM sendiri yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam selok-belok pengurusan umrah.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here