Rais (tengah) berusaha anggota Perhilitan Dan penduduk kampung menunjukkan buaya tembaga jantan sepanjang 3.1 meter yang memasuki perangkap di Sungai Malim, Melaka petang semalam.

MELAKA – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka berjaya menangkap seekor buaya tembaga jantan sepanjang 3.1 meter di Sungai Malim di sini, petang semalam.

Pengarahnya, Petra Sulai berkata buaya seberat kira-kira 200 kilogram itu ditemukan memasuki perangkap dipasang jabatan tersebut kira-kira pukul 3.30 petang selepas dimaklumkan oleh orang awam yang ternampak pintu sangkar sudah tertutup.

Menurutnya, sejurus menerima maklumat tersebut seramai sembilan anggota bergegas ke tempat kejadian dan mendapati seekor buaya sedang meronta-ronta untuk melepaskan diri.

“Kita mengambil masa lebih dua jam sebelum berjaya mengeluarkan reptilia itu dari sangkar sebelum mengikat dan menutup matanya.

“Bagaimanapun, reptilia berkenaan bukanlah buaya yang diburu kerana membaham beberapa ekor kambing di Kampung Tengah, Klebang pada Mei lalu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya, ia akan diletakan di bawah pengawasan Perhilitan di lokasi simpanan sementara dalam beberapa minggu bagi memantau kesihatan buaya berkenaan.

Sementara itu, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan, Datuk Rais Yasin ketika ditemui di lokasi, buaya berkenaan adalah yang ketiga ditangkap di lokasi sama pada awal bulan lalu.

“Memandangkan ini bukanlah buaya yang membaham kambing penternak di Kampung Tengah kerana saiznya lebih kecil, Perhilitan akan meningkatkan usaha untuk memburu reptilia itu.

“Sungai Malim ini panjang dari Taman Malim Jaya hingga ke Kampung Tengah dan memang menjadi habitat semula jadi buaya tembaga,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast