KUALA LUMPUR – Tindakan dua suspek lelaki yang cuba mencuri kabel pencawang elektrik memakan diri apabila pencawang bahan api itu meletup dan terbakar.
Kejadian itu mengakibatkan kedua-dua suspek melecur, kata Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim.
Kejadian berlaku di pencawang elektrik milik syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Talian 132KV Bukit Jelutong- Shah Alam North, Seksyen 6, Shah Alam tengahari tadi.
Mohd Iqbal berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu lebih kurang 12.17 tengahari daripada wakil syarikat TNB.
“Hasil siasatan pasukan polis yang turun ke lokasi kejadian mendapati kedua-dua saspek telah menceroboh masuk ke dalam kawasan pencawang elektrik dan cuba memotong kabel sehingga menyebabkan letupan dan kebakaran.
“Polis turut menemui peralatan pemotong kabel di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek mengalami kesan melecur di bahagian muka, tangan dan kaki dan dikejarkan ke Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan.
“Keadaan kedua-dua suspek kini dilaporkan stabil dan ditahan wad untuk rawatan lanjut.
“Polis juga mendapati kejadian itu turut mengakibatkan berlaku gangguan sistem bekalan elektrik di kawasan sekitar sehingga membawa kerugian dianggarkan sebanyak RM350,000 untuk kos pembaikan dan pemasangan kabel semula,” katanya.
Semakan mendapati suspek pertama merupakan seorang lelaki berusia 49 tahun mempunyai 10 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala suspek kedua berusia 31 tahun mempunyai 21 rekod berkaitan jenayah dan dadah.
Siasatan dijalankan polis dibawah Seksyen 431a Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.
Beliau turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Inspektor Nor Sabryna Mohammad Taha di talian 014-513 0450.-MalaysiaGazette