KUALA LUMPUR – Penyanyi dan komposer terkenal, Datuk M Nasir dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persembahan pada Istiadat Konvokesyen Ke-26 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim di Perak hari ini.
M Nasir atau nama sebenarnya Mohamad Nasir Mohamed merupakan antara 7,172 graduan yang bakal menerima pelbagai anugerah termasuk diploma, ijazah sarjana muda, sarjana, doktor falsafah (PhD) dan ijazah kehormat sepanjang istiadat yang berlangsung sehingga 30 November.
Dalam istiadat yang sama, penyanyi, Datuk Nash atau nama sebenar Nashrudin Elias menerima Ijazah Sarjana Pengajian Persembahan menerusi kaedah Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL Q) yang berasaskan pengalaman bersesuaian dengan bidang pengajian.
Istiadat yang berlangsung di Dewan Besar Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, dirasmikan oleh Canselor UPSI, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Turut hadir, Pro Canselor UPSI, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Zakri Abdul Hamid, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan Tan Sri Dr. Ismail Bakar.
Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI, Datuk Seri Rohani Abdullah, serta Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff turut hadir dalam majlis tersebut. – MalaysiaGazette