KUANTAN – Seoran pesara guru wanita rugi RM260,950 akibat terpedaya dengan sindiket penipuan telefon dalam kejadian di Lipis.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata mangsa telah diperdaya dengan penyamaran oleh pegawai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dan pegawai polis setelah dihubungi suspek pada 29 September lalu.
“Mangsa berusia 61 tahun telah menerima panggilan telefon daripada Pegawai NSRC dan beliau dimaklumkan terlibat dengan aktiviti judi atas talian dan pengubahan wang haram.
“Kemudian panggilan telefon tersebut telah disambungkan kepada pegawai polis.
“Suspek mengatakan terdapat waran tangkap terhadap mangsa kerana terdapat RM1.18 juta kemasukan wang ke dalam akaun banknya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Selepas itu pada 27 Oktober 2024 mangsa telah diarahkan oelh suspek untuk memindahkan wang simpanan Tabung Haji sebanyak RM 120,000 ke dalam akaun bank miliknya.
Yahaya berkata suspek turut mengarahkan kad ATM beserta nombor pin mangsa diletakkan di lokasi yang diberi bagi tujuan siasatan oleh Jabatan Audit Negara.
Mangsa mula menyedari telah ditipu setelah mendapati wang dalam akaun bank miliknya sebanyak RM 260,950 termasuk wang simpanan dari Tabung Haji tersebut telah dikeluarkan oleh suspek.
Polis menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan yang meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan.
Masyarakat juga dingatkan sentiasa peka terhadap trend penipuan atas talian terkini kerana modus operandi penjenayah sentiasa berubah dan semakin canggih, terutama dengan perkembangan teknologi. – MalaysiaGazette