JOHOR BAHRU – Kegiatan persundalan yang menawarkan aktiviti seks berselindung di sebalik premis urut di sini dibongkar dalam serbuan di Taman Sri Tebrau di bandar raya ini semalam.
Serbuan dijalankan sepasukan Cawangan D7 Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di pusat urut tersebut pada pukul 6 petang.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, serbuan menerusi Op Noda itu menahan tujuh individu berusia antara 29 hingga 44 tahun.
“Mereka terdiri daripada empat lelaki sebagai penjaga premis dan tiga wanita yang dipercayai menawatkan perkhidmatan tidak bermoral di premis tersebut.
“Daripada jumlah itu dua suspek adalah warga tempatan manakala lima lagi adalah warganegara asing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, dalam serbuan tersebut pihaknya merampas 18 keping kondom, dua tiub pelincir, 12 unit telefon bimbit dan wang tunai RM947.
Menurut Raub, hasil siasatan awal pihak polis mendapati premis tersebut beroperasi tanpa lesen yang sah beroperasi dari 12 tengah hari hingga 3 pagi.
“Mereka menyasarkan pelanggan daripada pelbagai lapisan masyarakat,” katanya lagi.
Hasil semakan lanjut katanya, mendapati seorang suspek mempunyai empat rekod lampau kes jenayah manakala enam lagi mempunyai mempunyai sebarang rekod jenayah.
Beliau memberitahu, empat susoek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini manakala dua lagi direman dua hari bermula hari ini.
Mereka ujarnya, disiasat bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 iaitu menggaji pekerja warga asing tanpa permit sah dan 372B Kanun Keseksaan iaitu mengurus dan mengawal aktiviti persundalan dan Seksysen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk dan berada di Malaysia tanpa dokumen yang sah.
Polis Johor, katanya, komited dalam membanteras jenayah dan aktiviti tidak bermoral dan menyeru orang awam untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan jenayah kepada pihak berkuasa.
Kata Raub, kerjasama tersebut adalah penting dalam memastikan daerah ini kekal sebagai tempat yang selamat dan harmoni.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti tidak bermoral boleh menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan 07-218 2323.- MalaysiaGazette