KUALA LUMPUR – Isu siapa yang akan mengetuai Perikatan Nasional (PN) dan calon Perdana Menteri (PM) daripada gabungan politik itu tidak perlu dijadikan polemik.
Bahkan, menurut Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, dalam kalangan pimpinan Majlis Tertinggi (MT) PN sendiri, isu itu tidak pernah dibincangkan baik dalam mesyuarat atau luar mesyuarat.
Tambah Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, topik berkenaan siapa yang seharusnya mengetuai PN dan siapa yang mahu dilantik sebagai PM juga tidak menjadi keutamaan dalam kalangan pimpinan PN untuk dibincangkan.
Ini kerana, ujar beliau, PN percaya dan bertekad sekarang merupakan masa untuk memperkukuhkan parti, mendekati rakyat dan memperjuangkan nasib bagi membela rakyat.
“Rakyat semakin tertekan berada di bawah pemerintahan kerajaan yang tidak malu untuk memungkiri janji dan manifesto mereka.
“Rakyat terhimpit dengan isu kenaikan kos sara diri serta penarikan subsidi. Rakyat masih menaruh kepercayaan kepada kami untuk memimpin negara ini semula berdasarkan kepada rekod lampau kami sebagai kerajaan,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau semalam.
Polemik mengenai calon PM daripada PN tercetus selepas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam satu kenyataan mengesyorkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon tunggal jawatan tersebut pada PRU akan datang.
Bagaimanapun, Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin dalam satu kenyataan menegaskan, parti itu lebih layak memimpin PN sekali gus menolak cadangan supaya Muhyiddin kekal sebagai calon PM gabungan itu.
Tambah Tuan Ibrahim, PN tidak mempunyai masa untuk berbincang mengenai perkara tersebut dan menghampakan rakyat yang terhimpit dengan pelbagai isu.
Jelasnya, adalah lebih baik semua komponen PN mencari jalan memperbanyakkan cawangan, keahlian dan program bersama rakyat.
“Biarlah perkara yang melibatkan polisi parti dibincang dan diteliti oleh pimpinan.
“Usah kita mendahului masa, kerana apabila tiba masanya, pasti perkara ini akan dibincangkan,” katanya. – MalaysiaGazette