SHAH ALAM – Pembahagian kerusi antara parti komponen Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor akan datang tidak boleh dibuat berdasarkan kepada tuntutan satu pihak semata-mata.
Sebaliknya, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Izham Hashim berkata, pembahagian kerusi itu akan dibuat menerusi rundingan dan perbincangan antara kepimpinan parti komponen Kerajaan Perpaduan.
Jelas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah, sebarang keputusan yang dibuat pucuk pimpinan berhubung pembahagian kerusi itu juga kelak akan dibuat berdasarkan penilaian yang menyeluruh.
“Kita tidak boleh ikut berdasarkan satu tuntutan daripada pihak tertentu sahaja, kalau kena ikut begitu, maka boleh jadi huru-hara nanti,” katanya kepada pemberita pada Konvensyen Negeri Selangor Parti Amanah Negara 2024, di sini, hari ini.
Izham ditanya berhubung resolusi Mesyuarat Tahunan Amanah Kawasan Hulu Selangor baru-baru ini yang menetapkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Bernam sebagai DUN yang akan ditandingi parti Amanah.
Naib Ketua Amanah Kawasan Hulu Selangor, Muhammad Shafiq Musa berkata, keputusan itu kekal meskipun Penyelaras DUN Hulu Bernam terpaksa diberikan kepada UMNO atas keputusan sepihak Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari tanpa perbincangan bersama anggota parti Pakatan Harapan (PH).
Polemik perebutan kerusi antara parti komponen Kerajaan Perpaduan di Selangor tercetus sebelum ini selepas Ketua UMNO Kota Raja, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menuntut sama ada Parlimen Kota Raja atau mana-mana DUN di bawahnya iaitu Sentosa, Sungai Kandis atau Kota Kemuning diberikan kepada UMNO.
Bagaimanapun, menurut Izham, beliau tidak menolak kemungkinan akan berlaku pertukaran kerusi DUN antara parti komponen Kerajaan Perpaduan pada PRN Selangor akan datang.
“Semuanya menerusi rundingan dan perbincangan dengan baik antara pucuk pimpinan untuk memastikan semua parti mendapat suara atau kedudukan yang baik,” katanya. – MalaysiaGazette