Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Konvensyen Barisan Nasional Wilayah Persekutuan 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto SADIQ SANI, 24 NOVEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan, terdapat usaha untuk memujuk supaya Barisan Nasional (BN) keluar daripada Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baharu.

Pengerusi BN itu mendakwa, sebagai  balasan, parti itu turut ditawarkan jawatan perdana menteri jika bersetuju dengan perancangan tersebut.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid menolak tawaran itu kerana tidak sanggup mengkhianati rakan dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini.

“Ada yang menawarkan kononnya mahu menggantikan kerajaan sedia ada (kerajaan Perpaduan) dan mahu melontarkan (mencadangkan) kita (BN) sebagai perdana menteri.

“Saya cakap kepada mereka (yang memujuk) jangan buang masa, marilah kita perkukuh Kerajaan Perpaduan yang ada.

“Jawapan saya tegas, kerana saya tidak akan mengkhianati kawan, itu pegangan saya walaupun ramai kawan mengkhianati saya.

“Dalam politik jangan naik, jangan pijak kepala orang. Jika kita pijak orang lain, ingat satu hari nanti apabila kita berada di atas, orang lain akan pijak kita untuk turun dengan hina,” katanya tanpa memperincikan pihak yang membuat tawaran tersebut.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap  merasmikan Konvensyen BN Wilayah Persekutuan 2024 di  Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mendedahkan,pada minggu lalu, terdapat ahli Parlimen pembangkang turut bertemu beliau untuk membentuk jajaran baharu Kerajaan Perpaduan dengan syarat mereka diberi empat jawatan menteri.

“Mereka sudah merasakan nikmat menteri. Ada kalangan mereka pernah jadi menteri, timbalan menteri, menjadi kerajaan. Minggu lepas ada ahli Parlimen mereka (pembangkang) datang berjumpa saya.

“… apa yang mereka tawarkan? mereka kata marilah kita bersama untuk membentuk kerajaan baharu di bawah panji-panji Kerajaan Perpaduan, kami mahu masuk semula, berilah kami empat menteri,” ujarnya.

Ahmad Zahid berkata, tindakan terdesak pembangkang itu menunjukkan mereka sebenarnya semakin lemah ketika ini sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk menjadi kerajaan semula. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast