KUALA LUMPUR – Penglibatan murid dalam kegiatan jenayah didapati semakin meningkat sepanjang tahun ini.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, selain masalah buli, pihaknya turut dikesan adalah penglibatan murid dalam elemen gangsterism.
Bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, sejumlah 237 orang murid direkodkan terlibat dengan jenayah kekerasan seperti mencederakan, merusuh, ugutan jenayah, pemerasan, gaduh gempar dan khianat.
Turut direkodkan bagi tempoh sama adalah 799 murid dilaporkan menjadi mangsa jenayah rogol.
“Walaupun jumlah tersebut adalah kecil berbanding jumlah murid sekolah rendah dan menengah yang melebihi lima juta orang namun tindakan pencegahan penting bagi mengekang peningkatan penglibatan di masa hadapan,” katanya dalam ucapan pada Majlis Peluncuran Kit Duta Sahsiah Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di sini hari ini.
Beliau mewakili Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Ketua Pengarah Pelajaran, Azman Adnan.
Menurut Wan Hassan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyokong sepenuhnya inisiatif pelantikan Duta Sahsiah dalam kalangan murid peringkat sekolah dan percaya ia akan memberi aspirasi yang lebih memberangsangkan dalam kalangan murid.
Katanya, Ikon Duta Sahsiah yang ada boleh memberikan pengaruh tersendiri, menginspirasi rakan murid yang lain untuk meneladani personaliti, tingkah laku dan perwatakan baik yang dipamerkan.
“Kit Duta Sahsiah adalah satu garis panduan yang lebih sistematik ke arah pelaksanaan peranan dan tanggungjawab Duta Sahsiah dalam membantu pihak sekolah menangani isu disiplin murid.
“Penetapan gerak kerja ini menjurus kepada mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih kondusif dan selamat. Saya yakin dan percaya, inisiatif ini akan memberikan impak yang lebih baik dan berkesan,” katanya.
Sehingga kini, menurut beliau, PDRM mempunyai seramai 10,235 Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di 2,458 sekolah rendah dan 7,777 sekolah menengah di bawah kelolaan KPM.
PDRM juga telah menghasilkan Modul Kesedaran Jenayah Terhadap Kanak-Kanak dan Remaja (MESRA).
Modul MESRA mempunyai lapan sub modul seperti kesalahan seksual, buli dan gangsterisme, penyalahgunaan dadah, kesalahan lalulintas, pemerdagangan orang, penipuan dalam talian, dan kesihatan mental.
“KPM dan PDRM akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan mempelbagai inisiatif termasuk penglibatan PPS dalam memantau dan menangani isu salah laku disiplin murid di sekolah,” tambahnya.- MalaysiaGazette