KUALA LUMPUR – Isu pelajar tinggal di Thailand yang merentasi Sungai Golok untuk ke sekolah di Rantau Panjang akan diselesaikan sebelum 1 Disember.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, isu tersebut membabitkan 221 pelajar di bawah kementeriannya.
Cadangan bagi menyelesaikan isu berkenaan termasuk menyediakan kemudahan asrama kepada pelajar terbabit kerana ia melibatkan isu keselamatan.
“Anak-anak ini telah pun kita kenal pasti dan kita telah membuat tindak susulan. Pertama perbincangan dengan waris untuk menempatkan mereka di asrama.
“Ini bagi saya perlu disegerakan bagi memastikan proses yang disebut oleh pihak keselamatan mesti diselesaikan sebelum 1 Disember
“Jadi kita telah mengambil pendekatan menyediakan, menguraikan mereka dalam bentuk menempatkan mereka di asrama dan kenal pasti asrama yang boleh mereka tinggal untuk keselamatan dan meneruskan pendidikan mereka,” katanya kepada media.
Fadhlina ditemui selepas Majlis Peluncuran Kit Duta Sahsiah Peringkat Kebangsaan Tahun 2024.
Beliau ditanya mengenai hasil mesyuarat Majlis Keselamatan Negara yang membincangkan isu tersebut.
Katanya, tindakan tegas juga diambil dengan memastikan pelajar menyeberangi ke Rantau Panjang dari Thailand hanya menggunakan laluan dan pas yang sah.
“Di peringkat KPM itu tindakan yang saya ingat penting dan signifan untuk pastikan akses pendidikan mereka dapat diteruskan.
“Sebab itu saya minta ketua pengarah peringkat Jabatan Pendidikan Kelantan menyelesaikan penempatan asrama untuk pastikan bahawa tidak timbul isu kemudian selepas 1 Disember.
“Insya-Allah dalam perkiraan dan tindakan, dapat diselesaikan kerana bilangan murid tidak ramai di bawah KPM,” jelas beliau.
Sebuah akhbar tempatan sebelum ini melaporkan hampir 500 murid dan pelajar dari Thailand menggunakan pangkalan haram bagi merentasi Sungai Golok setiap hari untuk ke sekolah di Malaysia.
Tinjauan mendapati seawal 6.30 pagi mereka sudah mula menunggu bot untuk ke Malaysia dengan caj bot dikenakan RM1 menerusi lima pangkalan haram yang menjadi tumpuan termasuk pangkalan Jambu, Ibrahim Pencen dan Paun. – MalaysiaGazette