Sumber KKM

Oleh: Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed

KERINTANGAN antimikrobial atau Antimicrobial Resistance (AMR) merupakan ancaman kesihatan global yang semakin membimbangkan dan memerlukan perhatian serta tindakan menyeluruh. Istilah AMR merujuk kepada keadaan di mana bakteria, virus, kulat, atau parasit tidak lagi dapat dikawal atau dirawat dengan ubat-ubatan (seperti antibiotik, antivirus) yang sebelum ini berkesan. Keadaan ini menyebabkan rawatan biasa menjadi tidak efektif, meningkatkan risiko komplikasi, dan boleh
membawa maut.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan sebanyak 1.27 juta kematian di seluruh dunia pada tahun 2019 berpunca daripada ketahanan antimikrob (AMR). Masalah ini bukan sahaja melanda negara-negara membangun tetapi juga memberi impak yang besar kepada negara seperti Malaysia. Menurut Menteri Kesihatan, dianggarkan kira-kira 87,000 rakyat Malaysia berisiko maut akibat masalah AMR antara tahun 2020 hingga 2030, jika langkah pencegahan tidak diambil dengan
serius. Kesan AMR tidak terhad kepada sektor kesihatan sahaja, tetapi turut memberi impak besar kepada ekonomi global. Bank Dunia menganggarkan AMR akan menyebabkan peningkatan kos kesihatan sehingga AS$1 trilion setiap tahun akibat daripada rawatan yang lebih kompleks, penggunaan ubat yang lebih mahal, serta kehilangan produktiviti akibat komplikasi penyakit.

Mengapa isu ini menjadi begitu serius? Salah satu sebab utama adalah penggunaan antibiotik dan ubat antimikrob lain yang tidak rasional. Antibiotik sering disalahgunakan untuk merawat penyakit yang sebenarnya tidak memerlukan antibiotik, seperti selesema biasa yang disebabkan oleh virus. Situasi ini memberi peluang kepada bakteria di dalam badan untuk menyesuaikan diri dan menjadi kebal terhadap ubat. Selain itu, amalan tidak bertanggungjawab seperti tidak menghabiskan antibiotik yang diberikan oleh doktor juga menyumbang kepada pembiakan bakteria yang kebal (rintang) terhadap antibiotik.

Penggunaan antibiotik secara meluas dalam industri penternakan juga menyumbang kepada isu AMR. Antibiotik bukan sahaja digunakan untuk mencegah penyakit, tetapi
juga untuk mempercepatkan pertumbuhan haiwan ternakan. Sisa antibiotik ini boleh memasuki rantaian makanan dan akhirnya menjejaskan kesihatan manusia. Ditambah pula dengan kebersihan yang tidak terjaga dalam pengendalian makanan dan persekitaran, penyebaran bakteria rintang antibiotik menjadi lebih meluas.
Kesan AMR amat serius dan mengancam kemajuan dalam bidang perubatan. Penyakit yang dahulunya mudah dirawat, menjadi sukar untuk dikawal. Pesakit perlu menjalani rawatan yang lebih lama, mendapat ubatan lebih mahal, dan kadangkala terpaksa diberikan ubat yang lebih toksik.

Risiko penyebaran penyakit juga meningkat, menyebabkan beban kesihatan awam yang lebih besar. Jika tidak ditangani dengan baik, kita mungkin menghadapi era baharu di mana jangkitan biasa seperti pneumonia (jangkitan paru-paru) atau luka kecil yang dijangkiti boleh membawa maut. Sebagai masyarakat, kita mempunyai peranan penting dalam menangani AMR. Salah satu langkah utama ialah menggunakan antibiotik secara bijak. Jangan mengambil antibiotik tanpa nasihat doktor, dan pastikan menghabiskan rawatan yang diberikan walaupun sudah berasa sihat atau tidak bergejala. Menggunakan antibiotik yang tersisa atau berkongsi antibiotik dengan orang lain adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab dan boleh memburukkan lagi isu AMR.

Selain itu, menjaga kebersihan diri dan persekitaran adalah langkah asas tetapi amat penting. Membasuh tangan dengan sabun, memasak makanan dengan betul, dan menjaga kebersihan tempat tinggal dapat membantu mencegah jangkitan yang memerlukan rawatan antibiotik. Vaksinasi juga memainkan peranan penting
dalam mencegah penyakit, sekali gus mengurangkan keperluan penggunaan antibiotik. Sebagai pengguna, kita boleh menyokong amalan penternakan yang bertanggungjawab dengan memilih produk daripada pengeluar yang tidak menggunakan antibiotik secara berlebihan. Pilihan ini bukan sahaja melindungi kesihatan kita, tetapi juga memberi isyarat kepada industri makanan tentang keperluan untuk mengubah amalan mereka.

Pilihan antibiotik yang ada pada masa kini semakin terhad, dengan hanya segelintir antibiotik yang berkesan untuk menangani AMR. Jika kita tidak bertindak sekarang, generasi masa depan mungkin menghadapi dunia tanpa ubat yang mampu melawan jangkitan. Kesihatan adalah tanggungjawab kita bersama. Marilah kita berganding bahu untuk melindungi masa depan dengan memastikan penggunaan antibiotik yang rasional dan bertanggungjawab.

Kerjasama antara masyarakat, kakitangan kesihatan, industri, dan kerajaan adalah kunci untuk menangani isu AMR. Pendidikan dan kesedaran tentang AMR perlu dipertingkatkan supaya setiap individu memahami peranan mereka dalam menangani ancaman ini. Sempena Minggu Kesedaran AMR Sedunia ini, marilah kita berazam untuk menggunakan antibiotik dengan bijak dan menjaga kebersihan dalam kehidupan seharian. Tindakan kecil yang diambil oleh setiap individu mampu memberi impak besar kepada kesihatan global. Dengan langkah yang kolektif dan berterusan, kita boleh mengurangkan kesan AMR dan memastikan antibiotik terus berfungsi untuk generasi kini dan masa depan.

 

Penulis adalah Pakar Mikrobiologi Klinikal,  Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast