ADUN Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumplan Manta Group, Syahfrilhaidi Abdul Rahman, bersama dengan wakil-wakil kontraktor dan peguam bergambar bersama laporan polis yang dibuat selepas sidang media mengenai isu rumah generasi kedua FELDA yang dikenali sebagai Rumah Pahang di Petaling Jaya. Foto SADIQ SANI, 25 NOVEMBER 2024

PETALING JAYA – Kerajaan negeri Pahang diharap dapat mengambil tindakan segera terhadap pemaju projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) berhubung isu projek yang terbengkalai sejak tiga tahun lalu.

ADUN Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin berkata, Kumpulan Maju Desa Industri (KMDI) Sdn. Bhd yang bertanggungjawab sebagai pemaju dalam membangunkan projek Felda tersebut seharusnya mengendalikan projek secara telus.

Katanya, kegagalan dalam pematuhan tanggungjawab mereka telah mengakibatkan kerugian kewangan dan tekanan emosi yang besar terhadap kontraktor-kontraktor yang terlibat dalam projek berkenaan.

“Projek ini merupakan secara usaha sama antara kerajaan negeri dan syarikat KMDI Sdn Bhd di atas tanah kerajaan.

“Saya sebenarnya telah membawa perkara ini ke dewan undangan negeri sebanyak tiga kali semenjak saya menjadi ADUN tapi sehingga hari ini tiada tindakan yang komprehensif daripada Kerajaan Nnegeri Pahang,”, katanya.

Beliau berkata demikian kepada media semasa sidang media Isu Rumah Gen-2 Felda di sini, hari ini.

ADUN Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin bercakap pada sidang media mengenai isu rumah generasi kedua FELDA yang dikenali sebagai Rumah Pahang di Petaling Jaya. Foto SADIQ SANI, 25 NOVEMBER 2024

Beliau mendakwa, KMDI Sdn Bhd telah mengutip wang jaminan sebagai syarat pemberian kontrak Surat Setuju Terima kepada para kontraktor namun projek tersebut didakwa tidak diuruskan dengan baik serta tidak telus menyebabkan penamatan kontrak dan mengakibatkan kerugian yang besar.

“Mereka tidak dapat balik jaminan yang telah diberikan atas alasan-alasan remeh dan tidak dapat diterima.

“Selain itu, masalah utama sekali ialah projek-projek ini tidak mendapat kebenaran merancang yang  mana apabila kita dapat kelulusan merancang ni, baru kontraktor boleh mula membuat kerja, tetapi cuma tiga kawasan sahaja yang dapat kebenaran merancang.

“Bagaimanapun, mereka (kontraktor) telah diarahkan oleh KMDI untuk memulakan kerja di tapak projek yang tidak mempunyai kebenaran mMerancang, yang meletakkan mereka dalam risiko undang-undang,”.

“Saya mengetengahkan perkara ni, saya berharap dapat membantu pihak kerajaan dalam menyelesaikan projek-projek ini disebabkan rumah generasi kedua ni adalah sangat terdesak untuk keperluannya,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Manta Group, Syahfrilhaidi Abdul Rahman berkata, sehingga kini, KMDI Sdn Bhd tidak berniat membayar langsung kepada kontraktor, sekali gus menyebabkan mereka mengalami kesulitan kewangan yang serius.

“Terma-terma penilaian dan bayaran yang telah dinyatakan jelas di dalam Surat Setuju Terima juga tidak ditunaikan. Sehingga kini, tiada seorang pun daripada kami telah mendapat apa apa bayaran daripada KMDI,” ujarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Manta Group, Syahfrilhaidi Abdul Rahman bercakap pada sidang media mengenai isu rumah generasi kedua FELDA yang dikenali sebagai Rumah Pahang di Petaling Jaya. Foto SADIQ SANI, 25 NOVEMBER 2024

Beliau yang juga wakil kontraktor projek berkenaan berkata, KMDI Sdn Bhd juga telah memberikan Surat Setuju Terima Secara bertindih kepada beberapa kontraktor untuk tapak projek yang sama menyebabkan kekeliruan dan ketidakadilan dalam pelaksanaan projek.

Beliau menambah, laporan polis telah pun dibuat dan menyeru para kontraktor lain yang turut terjejas untuk tampil memberikan maklumat dan bekerjasama dengan pihak berkuasa. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast