KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) memberitahu pihaknya telah menerima sebanyak 68,502 panggilan menerusi Talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental atau Talian HEAL 15555 sejak ia diwujudkan.
Timbalan menterinya, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 42,415 atau 62 peratus telah menerima bantuan sokongan.
“Talian ini menyediakan perkhidmatan tele-kaunseling daripada aspek bantuan sokongan emosi, psiko- pendidikan dan intervensi awal krisis kesihatan mental seperti tingkah laku bunuh diri, kemurungan, anxiety, panic attack dan stres yang dikendalikan oleh Pegawai Psikologi (Kaunseling) KKM.
“Selain itu, khidmat nasihat kepada keluarga atau penjaga pesakit mental serta sokongan Post Vention turut ditawarkan,” katanya dalam sesi soalan lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) yang ingin tahu usaha proaktif KKM memperluas bantuan khidmat kaunseling melalui bantuan psikososial mengambil kira peningkatan kes bunuh diri di mana dilaporkan hampir 4,440 kes membunuh diri sejak 2019 dan kadar bunuh diri lelaki meningkat empat kali ganda berbanding wanita.
Untuk rekod, seramai 140 individu juga dikenal pasti sudah melakukan cubaan untuk membunuh diri di mana kesemuanya telah dapat diselamatkan.
Dalam pada itu, Lukanisman turut berkata, Penyediaan Perkhidmatan Kesihatan Mental di fasiliti-fasiliti KKM boleh diakses di 1,088 klinik kesihatan, 68 hospital psikiatri termasuk empat institusi kesihatan mental.
Malah ia turut boleh dibuat di 37 buah Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI) yang meliputi aspek pengesanan awal, rawatan dan rehabilitasi.
“Peluasan perkhidmatan kesihatan mental dan sokongan psikososial melalui penempatan 200 Pegawai Psikologi Kaunseling) Contract For Service di daerah dan Klinik Kesihatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette