Mayat Cikgu Murdani dibawa naik untuk proses pengecaman oleh ahli keluarga

MARAN – “Saya harap dapat jumpa hari ini”.

Itu doa seorang isteri yang setia menanti berita penemuan suaminya yang hanyut dibawa arus Sungai Pahang selepas terjatuh di Jeti Chenor, di sini, petang kelmarin.

“Saya nak itu sahaja (jumpa), sebab dia jatuh pada hari Ahad. Dah masuk tiga hari,”kata Nooradiwati Mohamed, 53 ketika ditemui, di sini, hari ini bersama empat orang anaknya.

Nooradiwati Mohamed (tengah) bersama anak-anaknya di Jeti Chenor, Maran

Bercerita lanjut, dia yang merupakan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Jengka 19 berkata, mendapat perkhabaran mengenai kejadian malang yang menimpa suaminya kelmarin menerusi panggilan telefon daripada rakan anaknya.

Dia sedia maklum bahawa suaminya, Murdani Ab Rahman, 53, sering ke tempat kejadian untuk memancing bersama rakan-rakan, namun tidak menyangka sama sekali kejadian tersebut boleh berlaku.

“Saya reda, tapi saya harap walaubagaimanapun keadaannya (suami), dapat lah jumpa hari ini. Insya-Allah,” tambah Nooradiwati.

Lebih memilukan, ketika ditemubual, tiba-tiba dia mendapat perkhabaran awal mengenai penemuan jasad suaminya kira-kira 300 meter dari lokasi asal jatuh, tersangkut di sangkar ikan di kawasan tersebut.

Bot agensi penyelamat membawa jasad Cikgu Murdani yang ditemui kira-kira 300 meter dari lokasi dia jatuh kelmarin

Orang ramai mulai memenuhi Jeti Chenor ketika jenazah Cikgu Murdani dibawa naik untuk proses pengecaman oleh ahli keluarga.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai mengesahkan penemuan mayat Cikgu Murdani pada jam 12.45 tengah hari.

“Pengecaman sudah disahkan ahli keluarga. Maklumat lanjut berkenaan fakta kes akan dikongsi sebentar lagi,” katanya.

Kelmarin, seorang Guru Penolong Kanan, Hal Ehwal Murid di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Afzan, Chenor di sini, dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Pahang sewaktu memancing.

Menurut orang kampung yang menyaksikan kejadian itu, mangsa yang mesra disapa Sir Dani tergelincir ketika mengalihkan kerusi semasa berada di atas sebuah rumah rakit.

Mangsa dilihat tenggelam selepas terjatuh dan timbul sekejap sebelum terus hilang daripada pandangan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Guru penolong kanan terjatuh Sungai Pahang ketika memancing

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast