KUALA LUMPUR: Seorang pastor sambilan berusia 53 tahun didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh ibunya sebelum menyimpan mayat wanita itu dalam peti sejuk beku di kediaman mereka di Jalan Klang Lama, di sini.
Tiada pengakuan dicatatkan selepas pertuduhan terhadap N. Deanesh dibacakan di hadapan Majistret Atiqah Mohamed@Mohamad Saim.
Deanesh didakwa membunuh Catherine Daniel, 77, di antara 21 Mac dan 26 Mac 2021 di sebuah rumah di Taman OUG, Brickfields, di sini.
Tertuduh yang ditolak menggunakan kerusi roda memasuki mahkamah, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya. Pendakwaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurainizatul Farhana Zainal.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dengan sekurang-kurangnya 12 sebatan, jika tidak dihukum gantung.
Mahkamah menetapkan 7 Februari depan bagi sebutan kes sementara menunggu laporan perubatan, bedah siasat dan DNA disediakan. Tertuduh dilarang jamin.
Tertuduh dihadapkan ke mahkamah selepas pihak polis mendapat izin daripada Pejabat Peguam Negara untuk mendakwanya setelah tempoh tahanan reman tamat hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dalam satu kenyataan berkata, setakat ini polis sudah merakam percakapan 13 saksi untuk membantu dalam siasatan kes itu.
Pada 12 November lalu, media melaporkan seorang lelaki menghubungi talian MERS 999 mendakwa mengalami masalah kesihatan ketika berada di rumahnya, selain mendakwa telah membunuh ibunya di kediaman sama tiga tahun lalu.
Kejadian terungkai selepas pihak polis dan pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian menemukan lelaki itu terbaring di sebelah peti sejuk beku yang menempatkan mayat mangsa.
Suspek turut mendakwa menghadapi masalah kewangan apabila kehabisan wang simpanan, selain mempunyai masalah kesihatan kronik.
Suspek ditahan di lokasi kejadian dan mayat yang ditemukan dalam peti sejuk beku itu kemudian dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.
Bedah siasat ke atas mayat wanita warga emas berusia lingkungan 80-an itu menemukan kesan kecederaan pada bahagian dada kesan daripada hentakan objek tumpul dan dikenal pasti sebagai punca kematian.
Lelaki itu dipercayai menumbuk ibunya sehingga mati sebelum mayat warga emas itu dibalut dengan tuala dan kain dan disumbat dalam peti sejuk beku. – MalaysiaGazette