MELAKA – Kes kematian akibat lemas di seluruh negara khususnya pada musim tengkujuh  membimbangkan kerana tidak menunjukkan trend penurunan kes setiap tahun.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Ts. Nor Hisham Mohammad berkata, secara purata statistik kematian akibat lemas di air adalah 320 kes setiap tahun.

“Rekod kematian itu tidak menunjukkan perubahan ketara atau konsisten saban tahun.

“Untuk tahun ini sejak Januari lalu, sebanyak 265 kes kematian direkodkan dan ini merisaukan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Forum Keselamatan Kebakaran Dalam Pengurusan Industri 2024, di sini hari ini.

Nor Hisham melihat pameran pada Majlis Perasmian Forum Keselamatan Kebakaran Dalam Pengurusan Industri 2024, di Melaka hari ini.

Mengulas lanjut, Nor Hisham meminta kerjasama semua pihak termasuk pengusaha pelancongan supaya sentiasa memberi peringatan kepada pelanggan mereka berhubung risiko bahaya pada musim tengkujuh ini.

“Kita mohonlah kepada pengusaha industri khususnya di sungai dan juga jeram memainkan peranan memberi nasihat berhubung keselamatan di air kepada pelanggan mereka.

“Contohnya bila musim tengkujuh apakah risiko yang boleh membahayakan mereka dan masyarakat pula rancanglah percutian berpandukan laporan cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia,” katanya.

Menurutnya, pelbagai pendekatan dijalankan JBPM untuk menurunkan statistik kes kematian akibat lemas namun tidak berkesan termasuk kempen kesedaran orang ramai.

Dalam pada itu, tambahnya, JBPM turut memberi fokus kepada negeri di kawasan Pantai Barat selain Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor ketika musim Monsun Timur Laut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here