ISKANDAR PUTERI – Pelanggan dan peniaga lelaki yang mengendalikan premis terutama kedai makan diwajibkan meninggalkan urusan perniagaan atau menutup sementara semasa solat Jumaat.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, tindakan itu bagi membolehkan lelaki Islam dapat menunaikan kewajiban tersebut.
“Mereka yang kena tinggalkan jual beli ini adalah orang lelaki, orang Islam, maka orang inilah jangan berniaga dan jangan berkerja (semasa solat Jumaat).
“Jadi peniaga Islam yang lain boleh berniaga, tetapi yang lelaki kenapa pergi makan semasa solat Jumaat. Lelaki Islam kenapa berniaga semasa orang sembahyang Jumaat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.
Katanya, pihak Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) akan melakukan pengkuatkuasaan bagi memastikan semua lelaki di Johor menunaikan solat Jumaat.
Sementara itu, beliau berkata, pekerja beragama Islam yang berdepan isu diskriminasi untuk menunaikan kewajipan solat Jumaat bermula 1 Januari tahun depan diminta membuat aduan berhubung perkara itu kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Johor.
Justeru katanya, majikan yang ingkar dengan tidak memberi waktu rehat mencukupi pada setiap Jumaat, boleh dikenakan tindakan.
“Sesiapa yang tidak membenarkan pekerja menunaikan solat Jumaat atau waktu solat pada waktu kerja mereka disusahkan, maka pekerja boleh mengadu perkara itu kepada JTK di bawah Akta Pekerja kerana diskriminasi dan majikan terlibat akan diambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Abdul Aziz Talib (PN-Maharani) mengenai kesediaan kerajaan negeri memudahkan pelaksanaan solat Jumaat bermula 1 Januari ini.
Pada 7 Oktober lalul, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah, penyelarasan semula cuti hujung minggu kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025 di Johor mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan pandangan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
Tunku Mahkota Ismail turut bertitah agar semua syarikat swasta, pihak kerajaan dan pihak berkaitan memberikan ruang dan masa yang mencukupi untuk pekerja Muslim menunaikan solat Jumaat.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika membentangkan Belanjawan Johor 2025 pada persidangan DUN Khamis lalu memaklumkan kerajaan negeri menetapkan tempoh waktu rehat hari Jumaat bagi sektor awam dan swasta dipanjangkan kepada dua jam bermula 1 Januari tahun depan berbanding hanya satu jam 30 minit ketika ini.- MalaysiaGazette