Penyanyi popular Indonesia, Mahalini Raharja dan Rizky Febian di hari pernikahan mereka

KUALA LUMPUR- Mahkamah Agama Jakarta Selatan mengisytiharkan perkahwinan dua penyanyi popular Indonesia, Mahalini Raharja dan Rizky Febian, enam bulan lalu sebagai tidak sah kerana gagal memenuhi salah satu rukun nikah.

Humas Pengadilan Jakarta Selatan, H. Suryana berkata, pasangan yang diijab kabul pada 10 Mei lalu gagal mematuhi rukun nikah berhubung status wali.

Jelas beliau, wali yang menikahkan Rizky dengan Mahalini adalah seorang ustaz, tetapi pemilihan individu terbabit bertentangan peraturan ditetapkan dalam undang-undang.

“Salah satunya adalah wali yang menikahkan mereka bukan wali yang berhak,”

“Setelah dia (Mahalini) mualaf kemudian bernikah, secara automatik memang orang tua pengantin perempuan juga bukan muslim, di situ bererti walinya bukan orang tuanya.

“Dalam persidangan ditemukan fakta ternyata yang menikahkannya adalah seorang ustaz dan dia menikahkan dengan menamakan dirinya sebagai wali hakim,” ujarnya seperti yang dilaporkan media-media tempatan.

Menurut Suryana lagi, berdasarkan peraturan Menteri Agama Nombor 30 Tahun 2005, wali hakim yang sah adalah pihak yang persetujui Menteri Agama dan didelegasikan pelaksanaannya oleh ketua setempat.

Menurut Undang-Undang Perkawinan di Indonesia, wali dalam pernikahan terbahagi kepada dua jenis, yakni wali nasab dan wali hakim iaitu wali nasab adalah wali yang memiliki hubungan saudara dengan mempelai perempuan.

Wali hakim pula digunakan dalam kes tertentu seperti pengantin perempuan tidak memiliki wali nasab atau wali nasab tidak diketahui keberadaannya.

Namun, dalam kes Rizky dan Mahalini, majlis hakim menemukan bahawa proses pengangkatan wali hakim tidak memenuhi kriteria undang-undang.

“Hal ini yang menjadi dasar keputusan bahawa pernikahan mereka tidak sah secara hukum,” ulasnya.

Dengan itu, Rizky Febian dan Mahalini kini harus mengikuti langkah berikutnya sama ada membuat semakan semula atau menjalani proses pernikahan sekali lagi mengikut ketetapan perundangan.

Terdahulu, pasangan terbabit bernikah pada awal pagi Jumaat pada 10 Mei lalu di Hotel Raffles, Jakarta, manakala resepsi berlangsung di hotel sama sebelah malamnya.

Perjalanan cinta pasangan yang berbeza agama itu bermula pada 7 Februari 2022 sebelum memutuskan untuk bertunang pada 7 Mei 2023.

Mahalini yang berasal dari Bali dan beragama Hindu disahkan bapa Rizky juga pelawak Sule sudah memeluk agma Islam sebelum mereka berkahwin.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast