KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang meneliti cadangan untuk menetapkan dasar baharu berkaitan tempoh menduduki kuarters kerajaan khususnya kepada program Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, cadangan itu sebagaimana yang diberikan Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) adalah penting bagi memastikan isu berkenaan diselesaikan segera.
“Namun, berdasarkan perbincangan saya dengan pegawai, kami mendapati bahawa sekiranya dasar exit policy ingin dirangka, ia tidak seharusnya dilaksanakan secara simplistik, seperti hanya menetapkan tempoh maksimum 10 tahun untuk penghuni.
“Sebaliknya, perlu ada pertimbangan khas bagi penghuni yang mempunyai keperluan tertentu, seperti faktor kesihatan atau perancangan untuk bersara dan kembali ke kampung halaman.
“Golongan ini wajar diberi kelonggaran untuk terus mendiami kuarters tanpa had masa yang tertentu,” jawab Zaliha dalam waktu pertanyaan-pertanyaan lisan (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Jawapan itu dibacakan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bagi mewakili Zaliha yang tidak dapat hadir ke sidang hari ini.
Zaliha menjawab pertanyaan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang ingin tahu apakah usaha Kementerian memperkasa Pesuruhjaya Bangunan (COB) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar menjadi badan yang berkesan seperti HDB dan URA di Singapura memandangkan terlalu banyak masalah pengurusan perumahan terutamanya rumah pangsa kos rendah seperti MC tidak berfungsi, penyelenggaraan lemah, komuniti bermasalah dan infrastruktur rosak.
Mengulas lanjut, Zaliha berkata kerajaan juga telah melaksanakan program PPAM untuk membantu penjawat awam khasnya yang berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah di seluruh negara terutamanya di bandar-bandar utama.
Jelas beliau, melalui inisiatif PPAM, sehingga kini seramai 36,479 penjawat awam telah menandatangani Perjanjian Jual Beli.
“Daripada jumlah ini, 87 peratus pembeli, iaitu 31,942 orang adalah penjawat awam berpendapatan di bawah RM5,000 sebulan. Data ini menunjukkan bahawa kumpulan penjawat awam yang disasarkan telah menerima manfaat dan faedah daripada pelaksanaan program PPAM,” ujarnya.
Dalam pembentangan Belanjawan 2025, Zaliha berkata, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM466,657,200.00 bagi meneruskan pelaksanaan program PPAM di seluruh negara.
Penyediaan rumah PPAM ini akan dilaksanakan melalui kerjasama awam – swasta agar sumber negara yang ada dapat digunakan secara optimum. – MalaysiaGazette