Anggota JPJ melakukan pemeriksaan dalam Ops Motosikal Khas di Plaza Tol Kempas, Johor Bahru

JOHOR BAHRU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor mengeluarkan 15,904 saman atas pelbagai kesalahan dalam Ops Khas Motosikal mulai 1 hingga 26 November lalu di seluruh negeri.

Pengarah JPJ Johor, Azmil Zainal Adnan berkata, antara kesalahan tersebut melibatkan tiada lesen memandu kompeten (CDL) sekali gus merupakan yang tertinggi berjumlah 3,428.

“Ini diikuti saman atas kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh berjumlah 2,344; kesalahan teknikal (3,065); tiada insurans/tiada LKM 2,255 dan lain-lain kesalahan (4,812).

“Melalui analisis data OPS Khas Motosikal ini, JPJ Johor mendapati tahap kesedaran kepada pematuhan peraturan kesalahan jalan raya masih berada pada skala rendah.

“Ini dapat diperhatikan di mana, sejumlah 3,428 iaitu 22 peratus kegagalan memiliki Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan sejumlah 2,255 (14 peratus) tiada perlindungan insurans serta 2,344 (15 peratus) gagal memperbaharui/tiada LKM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, secara keseluruhan sepanjang operasi itu sebanyak 28,158 motosikal diperiksa.

“JPJ Johor juga mengesan dan mengambil tindakan sitaan sebanyak 572 motosikal atas kesalahan tidak selamat dan tidak layak berada di atas jalan raya,” ujarnya.

Menurutnya, operasi itu fokus kepada pengesanan dan penilaian pematuhan syarat-syarat dan peraturan keselamatan serta kenderaan di pandu dengan selamat berdasarkan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-kaedah di bawahnya.

“JPJ memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan pemilik dan mana-mana pemandu yang masih tegar melanggar undang-undang dan peraturan ditetapkan.

“Penguatkuasaan dan tindakan tegas akan terus dilakukan secara berterusan bagi memastikan ekosistem pembudayaan keselamatan jalan raya yang lebih selamat kepada semua pengguna,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here