JOHOR BAHRU – Polis memberkas empat ahli sindiket along termasuk remaja berusia 15 tahun kerana khianat dengan api serta membuat ugutan jenayah di kediaman peminjam wang.
Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri menangkap mereka dalam beberapa serbuan sekitar daerah ini dan Pontian pada 15 dan 16 November lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar memberitahu, mereka yang ditahan merupakan lelaki warga tempatan berusia antara 15 hingga 20 tahun.
“Siasatan awal mendapati semua suspek menerima upah daripada sindiket untuk membuat ugutan jenayah dengan cara khianat menggunakan api ke atas rumah kediaman milik mangsa-mangsa.
“Perbuatan tersebut dilakukan selepas mangsa terbabit gagal melunaskan pembayaran pinjaman wang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pihak polis merampas pelbagai barangan seperti empat telefon bimbit, sebotol minyak petrol, sebotol cat merah, sebuah motosikal, sebuah kereta Toyota Vios, sembilan keping notis ugutan tertera talian telefon Telco Singapura serta pelbagai jenis peralatan tulis dan kertas.
Katanya, siasatan lanjut pihak polis mendapati kumpulan tersebut telah bergiat aktif melakukan jenayah khianat dengan api di Johor terutama daerah ini sejak Oktober lalu.
“Mereka mendapat upah RM1,000 daripada sindiket bagi setiap kes yang dilakukan. Modus operandi sindiket pinjaman tanpa lesen ini adalah mengiklankan tawaran pinjaman dalam Facebook.
“Mereka menggunakan kapsyen pinjaman wang berlesen Singapura bagi memperdaya peminjam. Apabila peminjam memberikan maklumat peribadi berkaitan akaun bank dan alamat tempat tinggal, sindiket akan memasukkan wang ke dalam akaun peminjam walaupun belum dipersetujui peminjam,” katanya.
Kemudian katanya, sindiket akan memaksa peminjam membuat bayaran dengan mengenakan kadar faedah yang tinggi kepada mangsa.
Jelas Kumar, sekiranya peminjam enggan membayar, sindiket akan membuat ugutan dan seterusnya melakukan perbuatan khianat dengan api bagi menakutkan peminjam serta keluarganya supaya membayar balik ‘pinjaman’.
“Kebanyakan mangsa adalah warga Malaysia yang bekerja di Singapura. Penangkapan empat ahli sindiket ini, polis Johor berjaya menyelesaikan sembilan kes dengan modus operandi yang sama,” katanya.
Tambah beliau, siasatan dilakukan bawah Sesyen 436 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat dengan api ke atas rumah dan khianat dengan api.
Kes turut disiasat bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah melalui komunikasi tanpa nama, katanya.
Ujarnnya, sebanyak sembilan kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya dan semua suspek yang ditahan reman ketika ini akan didakwa di mahkamah di sini esok.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak melayari iklan-iklan yang menawarkan pinjama wang secara dalam talian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan dan jenayah sindiket,” katanya.- MalaysiaGazette