KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi akan mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan organisasi media The Malaysian Insight, The Vibes, dan Getaran esok bagi meneliti isu kelewatan pembayaran gaji kakitangan.
Menterinya, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, pertemuan itu dibuat supaya isu-isu gaji pengamal media dapat diuruskan dengan segera.
“Saya akan pantau dan sudah pasti Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) pun akan teliti bagi memastikan hak pekerja termasuk para wartawan terbela.
“Walapun saya senyum tapi api kuat membara dalam jiwa saya kerana saya kenal kawan-kawan wartawan, semua kawan saya,” katanya dalam sesi penggulungan Belanjawan 2025 di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.
Fahmi menjawab pertanyaan Datuk Wan Saiful Wan Jan ketika sesi perbahasan yang ingin mengetahui penyelesaian kepada masalah kelewatan gaji sebelum ini.
Fahmi sebelum ini berkata, beliau sedia menjadi perantara dalam menyelesaikan isu tunggakan gaji petugas media di The Malaysian Insight, The Vibes, dan Getaran. – MalaysiaGazette