Zahari ketika menjawab soalan lisan dalam sidang DUN di Banguan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini

ISKANDAR PUTERI – Kawasan penanaman padi akan diperluaskan sehingga 70 hektar di Johor dalam usaha menambah pengeluaran beras untuk stok makanan negeri dan negara.

Pengerusi Jawatankuasa, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Zahari Sarip berkata, kawasan penanaman baharu padi itu membabitkan daerah Kluang dan Muar.

Jelasnya, penambahan keluasan tanah sawah baharu seluas 50 hektar akan dilaksana di tanah kerajaan di Mukim Sungai Balang, Muar ada tahun depan.

“Kerja-kerja pembersihan dan pembangunan infrastruktur akan dimulakan sebaik sahaja urusan permohonan tanah diluluskan.

“Baki penambahan 20 hektar pula membabitkan Sawah Kahang di Kluang yang dilaksanakan pada tahun ini.

“Tanah ini merupakan tanah bekas sawah terbiar dalam Skim Pengairan Sawah Kahang. Kerajaan memperuntukkan RM613,000 untuk pembukaan kawasan tanaman padi baharu,” katanya

Beliau berkata demikian dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggal Ketiga Kali ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini hari ini.

Zahari (BN-Buloh Kasap) berkata demikian ketika menjawab soalan Selamat Takim (BN-Sungai Balang) mengenai usaha kerajaan menambah perluasan kawasan sawah Sungai Balang bagi menambah pengeluaran padi beras untuk stok makanan negeri dan negara demi menjamin keselamatan makanan dalam menghadapi ketidak tentuan cuaca dan geopolitik dunia.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ketika ini kerja-kerja pembangunan infrastruktur dan penyediaan tanah sawah sedang dijalankan dan sudah mencapai kemajuan sebanyak 90 peratus.

Jelasnya, dijangka kerja-kerja pembangunan itu akan lengkap sepenuhnya pada akhir tahun ini manakala penaman padi akan dimulakan awal tahun depan.

“Kedua-dua projek pertambahan keluasan sawah padi tersebut dicadangkan untuk dilaksanakan oleh pihak koperasi kelompok pesawah setempat.

“Dengan pertambahan ini, keluasan semasa pacel aktif sawah negeri Johor bertambah kepada 1,920 hektar berbanding 1,850 hektar sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, biarpun Johor adalah kawasan pengeluar padi di kawasan luar jelapang, kerajaan negeri tetap berusaha untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran sawah padi dari semasa ke semasa.

Katanya, keluasan dan pengeluaran tanaman padi di Johor adalah kecil dengan seluas 2,254.39 hektar atau hanya 0.8 peratus berbanding keluasan pasel padi negara seluas 280, 208 hektar.

Johor katanya, mempunyai 10 buah kawasan tanaman sawah padi luar jelapang berjumlah 2,254.39 hektar membabitkan lebih 900 pesawah.

“Keluasan bertanam sawah padi di negeri Johor pada musim utama 2023/2024 adalah 1,393 hektar, berbanding 1,444 hektar pada musim utama 2022/2023,” ujarnya.

Jumlah itu jelasnya, menurun kerana Sawah Kahang, Kluang dengan keluasan 58 hektar tidak ditanam disebabkan sedang dalam pelaksanaan kerja perataan dan baik pulih infrastruktur.

“Walau bagaimanapun, hasil pengeluaran bagi musim utama 2023/2024 adalah sebanyak 6,415 metrik tan dengan purata hasil 4.605 metrik tan per hektar iaitu menunjukkan peningkatan berbanding 5,581 metrik tan dengan purata hasil 3.865 metrik tan per hektar pada musim utama 2022/2023,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Zahari menyatakan kerajaan negeri masih lagi menunggu proses kelulusan selanjutnya daripada kerajaan Persekutuan berhubung cadangan mewujudkan Kawasan Pertanian Bersepadu (IADA) Wilayah Selatan melibatkan penggabungan pengurusan sawah tiga negeri iaitu Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Pelaksanaan tersebut akan memberi manfaat dari segi mengoptimumkan penggunaan sumber bagi meningkatkan pengeluaran industri padi dan beras, katanya lagi.

“Kawasan penanaman padi yang dikawal diselia oleh pentadbiran yang khusus juga akan dapat memastikan pengendalian sawah yang holistik daripada aspek penggunaan teknologi, kebajikan pesawah serta sistem pengurusan tanaman, infrastruktur, penuaian serta pemasaran hasil yang lebih tersusun dan efektif seterusnya meningkatkan produktiviti pengeluaran padi.

“Cadangan ini juga merupakan satu proses transformasi sektor agromakanan secara terancang, bersepadu dan menyeluruh dalam pembangunan sawah padi di Wilayah Selatan,” tambahnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here